Sepuluh tahun lumpuh, sepuluh tahun pasang dan tukar lampin isteri
MAPIM Malaysia datang menyantuni mereka
PUCHONG: Melihat keadaan rumah dari luar memang tiada siapa menyangka, penghuni di dalamnya akan membuatkan kita sebak dengan kisahnya. Itulah yang dirasai oleh MAPIM Malaysia semasa berkunjung ke rumah ini untuk menghulurkan sumbangan.
Binaan rumah separuh kayu, separuh simen di Puchong ini terjaga dengan rapi. Ada sedikit ruangan tanah di sebelah kiri rumah yang ditanam dengan sayur daun basil Brazil dan pokok berbunga merah yang sedang kembang. Apabila menjenguk di muka pintu, kita akan melihat ruang tamu biasa yang kemas. Ada sofa dan televisyen juga gambar-gambar lama keluarga yang tergantung pada dinding.
Namun, kejutan akan muncul apabila kita mula menjengah lebih jauh ke dalam rumah. Apabila memasuki bilik utama, ada seorang perempuan Cina yang berumur 70 tahun sedang terbaring. Hanya akan duduk apabila perlu makan dan menukar lampin dewasa pakai buang. Yang menguruskan semua itu adalah suaminya yang berumur lebih 80 tahun.
Suaminya menyambut kami dengan ramah, seperti tidak ada apa-apa yang terjadi di rumah itu. Apabila ditanya tentang keadaan isterinya, dia hanya menjawab sekadarnya. Tidak terlalu bersemangat. Jelas perasaan sayangnya kepada isteri terlalu kuat sehingga dia tidak mampu bercerita hal sedih tentang isterinya. Jadi perbualan tidak berlanjut kerana MAPIM sangat empati dengan situasi seperti ini.
Isterinya pula memang tidak jelas butir bicaranya. Selain faktor usia, keadaan lumpuh juga membuatkan lidahnya terlalu lemah untuk berbicara secara kukuh. Hanya sesekali dia mengangguk apabila pegawai MAPIM Malaysia bercerita tentang tujuan lawatan dan berkenaan Tahun Baru Cina.
Apabila MAPIM Malaysia menghulurkan kotak bantuan makanan, wajah pasangan suami ini jelas terharu. Jelas mereka tidak menyangka akan menerima sumbangan daripada MAPIM Malaysia.
Menurut Tuan Haji Faris, “Ini adalah lanjutan daripada program tahun lepas. Tahun lepas kita turun di Semenyih dan pada tahun ini kita turun pula di Puchong dengan kerjasama Pertubuhan Amal Uncle Kentang. Kita mahu menegaskan bahawa MAPIM Malaysia akan membantu sesiapa sahaja yang memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama. Itu prinsip MAPIM dari dulu sampailah sekarang.”
#MisiUmmahBantuUmmah
MAPIM Malaysia membuka peluang kepada orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kepada saudara kita yang diuji dengan bencana dan kemiskinan dalam dan luar negara dengan hanya RM200, RM300 & RM500 untuk pelbagai bantuan meliputi makanan, pembaikan rumah asnaf dan juga perkhidmatan sokongan perubatan menerusi mobile klinik. Sumbangan boleh dibuat melalui:
ATAU
menerusi Akaun Maybank
TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM
562263-540066
MAPIM Malaysia boleh dihubungi
menerusi talian Hotline MAPIM Malaysia iaitu 1300-888-038 (Isnin-Jumaat 9am-6pm)
atau whatapps 012-800-2016