Sepasang anak gajah kembar dilahirkan di Kenya

NAIROBI : Perbadanan Penyiaran British (BBC) melaporkan semalam bahawa gajah betina di hutan simpan negara Kenya melahirkan sepasang anak gajah kembar, dalam apa yang disifatkan sebagai peristiwa yang sangat luar biasa.
Pemandu pelancong berkata mereka melihat gajah kembar jantan dan betina di kawasan hutan Simpanan Negara Samburu hujung minggu lalu. Ia merupakan pasangan kembar gajah kedua yang pernah dikesan oleh pertubuhan bantuan gajah, Save the Elephants.
Gajah kembar merangkumi hampir satu peratus daripada jumlah kelahiran gajah, menurut organisasi pemuliharaan, dengan rekod terakhir kelahiran pada 2006.
Menurut Dr. Iain Douglas-Hamilton, pengasas organisasi itu, kini merupakan detik penting bagi dua ekor gajah yang baru lahir kerana pasangan kembar sebelum ini, yang dilahirkan 15 tahun lalu, tidak bertahan untuk hidup lama.
Beliau berkata, ini kerana induk gajah biasanya tidak mempunyai cukup susu bagi memberi makan kepada dua ekor gajah yang baru lahir.
Gajah Afrika mempunyai masa kehamilan paling lama daripada mana-mana spesies haiwan, selama kira-kira 22 bulan dan melahirkan anak sekitar setiap empat tahun.
-AGENSI