KOTA TINGGI: Sebuah lori milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terbabit dalam kemalangan yang melibatkan seorang anggota tentera maut, manakala dua lagi cedera parah di Kilometer 16 Jalan Penawar-Punggai, petang semalam.
Ketua Polis daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, bagaimanapun kejadian ketika dalam perjalanan daripada Pos Tanjung Leman di Mersing ke Pos Tanjungg Sepang di Pengerang hanya membabitkan lori ATMĀ dan tiada kenderaan awam terbabit.
“Akibat kejadian itu, seorang anggota berusia 23 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Selain itu, dua lagi tentera dilapor mengalami cedera parah, manakala dua lagi termasuk seorang pegawai hanya cedera ringan dan menerima rawatan lanjut di Hospital Kota Tinggi,” katanya.
Buat masa ini, beliau berkata, polis masih menyiasat punca sebenar kejadian dan kes kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – AGENSI
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today