Semasa

Selesai isu keciciran pendidikan, KPM gesa laksanakan Pelan Pemulihan Pendidikan

PUTRAJAYA : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa melaksanakan Pelan Pemulihan Pendidikan secepat mungkin bagi menyelesaikan isu keciciran yang kini menjejaskan 21,316 pelajar.

Pensyarah Pusat Pendidikan dan Pengajian Kebajikan Masyarakat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata KPM tidak boleh membiarkan pelajar berhenti sekolah kerana kemiskinan dan ibu bapa mereka tidak mampu menyekolahkan mereka.

Beliau menyatakan bahawa keadaan itu mungkin dapat diselesaikan kerana KPM sudah mempunyai data terkini mengenai kanak-kanak yang tercicir dari sekolah yang sebelum ini diserahkan kepada Parlimen.

Menurut kenyataan rasmi Kementerian Pendidikan, murid terbabit diklasifikasikan sebagai pelajar tercicir dan keluar dari sistem pendidikan.

“Berdasarkan kajian pendidikan, keciciran pendidikan biasanya sangat dipengaruhi oleh faktor kemiskinan keluarga. Sebelum pandemik Covid-19 melanda negara, memang sudah wujud keciciran pendidikan, tetapi jumlahnya sangat kecil dan terkawal.

“Namun, apabila wabak Covid-19 melanda pada Mac 2020, ramai ibu bapa kehilangan pekerjaan sehingga mengakibatkan penurunan mendadak dalam pendapatan keluarga,” katanya kepada BH.

Menurut Anuar, perbelanjaan keluarga untuk pendidikan anak-anak adalah yang paling besar dikurangkan oleh isi rumah B40 di bandar ini dalam satu penyelidikan yang dilakukan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia pada Ogos 2020 bertajuk ‘Families on the Edge.’

Menurut laporan itu, pelaburan untuk pendidikan kanak-kanak di Kuala Lumpur dikurangkan sehingga 84 peratus menyebabkan ramai kanak-kanak dalam isi rumah B40 tidak dapat menamatkan pendidikan mereka dengan sempurna sepanjang wabak itu.

Selain itu, beliau mendakwa peningkatan bilangan keciciran sekolah adalah berikutan motivasi pelajar yang semakin berkurangan dan ada pelajar yang bekerja mendapat gaji harian semasa penularan wabak itu.

“Mereka hilang fokus dan motivasi untuk meneruskan persekolahan. Selain itu, faktor aspirasi ibu bapa yang rendah terhadap pendidikan anak juga boleh menyebabkan anak hilang fokus dan akhirnya berhenti sekolah.

“Keciciran pendidikan sudah pasti akan berlaku apabila ibu bapa sendiri tidak lagi mengambil berat tentang pelajaran anak-anak,” katanya.

Malah, Anuar berkata, pada Jun 2020, badan dunia seperti Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) serta Bank Dunia sudah mengeluarkan peringatan jika sistem pendidikan negara di dunia tidak memantau isu ‘lost generation’ dan ‘learning lost’ maka akan berlaku keciciran pendidikan yang besar di negara terbabit.

Beliau juga berkata, di sebalik amaran sebegitu, sambung beliau, tiada inisiatif atau program khas di Malaysia untuk memantau dan mengawal isu keciciran sekolah.

“Mulai Mac 2020, KPM perlu menubuhkan satu pertubuhan khas di peringkat kementerian bagi memantau dan menjamin masalah keciciran pendidikan tidak bertambah buruk.

“Antaranya, dengan menawarkan bantuan kewangan untuk pendidikan kepada anak-anak daripada isi rumah B40, bantuan makanan untuk kanak-kanak miskin dan khidmat nasihat serta kaunseling kepada ibu bapa dan murid yang telah diakui tidak mahu melanjutkan pelajaran,” katanya.

-AGENSI

Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM

Related Articles

Back to top button