Selawat Perdana & Malam Kesenian Islam: Angkat Seni Islam dalam Program Kemasyarakatan
Segamat, Johor – “Laungan Selawat Bergema di Bumi Segamat…,” begitulah suasana yang menyelimuti Kampung Kuala Paya ketika acara Selawat Perdana & Malam Kesenian Islam berlangsung dengan penuh kemeriahan dan rasa syukur. Program yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Kuala Paya ini dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), dan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Kehadiran Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan dan isteri, Puan Sri Datin Wira Hartiah binti Hamzah, turut menyerikan lagi majlis. Mereka meluangkan masa untuk melawat booth pameran yang disediakan oleh MAPIM, Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Darat, Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), dan Rejimen Askar Wataniah (RAW). Booth-booth ini memaparkan pelbagai maklumat mengenai usaha kebajikan dan peranan tentera dalam pembangunan masyarakat. Kehadiran PTD dan isteri bukan sahaja menambah kemeriahan program, malah turut memperkukuhkan hubungan erat antara pihak tentera dan masyarakat awam, serta memupuk semangat muhibbah dan kesatuan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Acara Selawat Perdana & Malam Kesenian Islam ini diserikan dengan persembahan istimewa daripada kumpulan nasyid terkenal seperti Hijjaz, Far East, dan Haziq Rosebi, serta kumpulan nasyid Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) yang dikenali sebagai Fursan. Setiap persembahan mengajak hadirin untuk mendalami kecintaan kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW melalui alunan selawat dan lagu-lagu yang memuatkan mesej kemanusiaan serta kerohanian.
Selain itu, acara ini juga diisi dengan bacaan selawat perdana dan solat hajat khusus untuk memohon kesejahteraan bagi negara dan umat Islam di seluruh dunia. Kehadiran penduduk kampung yang berduyun-duyun serta para jemputan daripada pelbagai agensi menjadikan majlis ini penuh dengan semangat kekeluargaan dan perpaduan. Program ini bertujuan untuk menyemarakkan semangat kerohanian dalam kalangan masyarakat, khususnya penduduk Kampung Kuala Paya dan daerah Segamat, melalui pendekatan seni dan budaya Islam yang harmoni.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia, (Dr.) Sani Araby Al Kahery, program ini bukan sahaja bertujuan sebagai hiburan rohani tetapi juga satu platform untuk memperkukuhkan ukhuwah dan kecintaan terhadap Rasulullah SAW. “Selawat Perdana & Malam Kesenian Islam adalah satu inisiatif penting yang bukan sahaja membawa mesej perpaduan tetapi juga kecintaan kepada ajaran Islam yang penuh kedamaian. Kami amat menghargai sokongan daripada TDM dan pihak lain yang menjadikan acara ini lebih bermakna,” ujarnya.
Dengan kerjasama erat daripada pihak tentera dan pelbagai organisasi Islam, acara Selawat Perdana & Malam Kesenian Islam diharapkan dapat meningkatkan kesedaran rohani, mengeratkan hubungan silaturahim, dan memupuk rasa hormat terhadap seni Islam dalam kalangan komuniti setempat. Inisiatif ini juga diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang untuk membawa mesej kedamaian, perpaduan, dan keharmonian melalui seni Islam yang dekat di hati rakyat Malaysia.