Semasa
Selangor tidak berkompromi kesalahan rasuah, seleweng kuasa – MB Selangor
SHAH ALAM : Kerajaan Negeri Selangor menegaskan bahawa Kerajaan Negeri sesekali tidak berkompromi dengan kesalahan rasuah serta penyelewengan kuasa.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata mereka sedia maklum akan berita berhubung penahanan reman beberapa pegawai perkhidmatan awam Negeri Selangor oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan terkait isu rasuah.
“Seperti yang pernah saya umumkan sewaktu Majlis Mahabbah Ramadhan pada 23 April 2021 yang lalu, Kerajaan Negeri serius dan tegas dalam melawan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
“Malah Kerajaan Negeri juga sedang mengikuti dengan dekat beberapa jabatan yang berkenaan serta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang didapati bersalah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Amirudin, sepanjang siasatan dijalankan oleh SPRM atau pihak berkuasa, perlu ditegaskan sejajar dengan prinsip Rule of Law bahawa tiada sesiapa dianggap bersalah sehingga terbukti bersalah.
Sementara itu, Kerajaan Negeri menghormati proses yang sedang berjalan dan kekal menjunjung prinsip ketelusan.
Oleh Hafeez Anuar