Semasa

Selamatkan pelajar Islam daripada menambah angka 12,705 “sugar baby” – dambakan habuan lelaki kaya

Desakan berulang pada 2018, haramkan `Sugar Book'

Sekitar akhir tahun 2019 iklan billboard, atau papan iklan, platform applikasi `Sugar book’ telah dibantah oleh ramai pihak termasuk NGO dan ahli politik malah masyarakat amnya.

Asas bantahan itu adalah kerana iklan berbentuk penggalak maksiat itu akan mengheret sama, masyarakat khususnya wanita Islam dalam kancah yang tidak bermoral malah lebih tepat ke kancah pelacuran.

Sesiapa yang memuat turun aplikasi berkenaan boleh menggunakannya sebagai platform temu janji mewah, untuk ahli mencari dan bertemu dengan kedua-duanya saling menguntungkan, bukan berniaga tapi lebih kepada perkhidmatan layanan seksual dan habuan kemewahan.

Papan iklan yang diturunkan DBKL pada Disember 2019, di Bangsar dan Bukit Kiara

Pada waktu itu, setelah mendapat iklan percuma, desakan terhadap papan iklan berkenaan diturunkan – akhirnya dituruti pihak berkuasa.

Satunya di Bangsar dan satu lagi di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Perletakan papan iklan itu yang dikatakan strategik berdasarkan lokasi yang terkenal sebagai kawasan mewah di ibu kota akhirnya hilang dari pandangan pada 18 Disember 2019, oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kerana tidak mendapat kebenaran.

Dua tahun berlalu,  portal dan aplikasi yang dibangunkan di Malaysia ini pada tahun 2016, terus bertakhta.

Walaupun  Pengasasnya, Darren Chan menafikan mempromosikan sektor pelacuran, namun slogan mempertemukan antara Sugar Daddy dan Sugar Baby, terus dipapar di alam maya, selain terma lain  seperti sugar mommy, sugar sister dan sebagainya, yang boleh diakses selepas menjadi ahli.

Natijahnya kini, kewajaran ia disekat, atau diharamkan timbul semula selepas Darren berkongsi perkembangan terkini ahli Sugar Baby berkenaan.

Darren mengatakan bilangan pelajar universiti awam dan swasta di Malaysia yang menjadi Sugar Baby melalui aplikasinya adalah seramai lebih 14,000 orang.

Kata Darren, bilangan itu dikatakan semakin meningkat disebabkan kesukaran hidup pelajar universiti sejak penularan wabak  pandemik COVID-19.

Pada bulan Januari 2021 sahaja, bilangan pelajar universiti di Malaysia yang menjadi Sugar Baby meningkat sebanyak lebih  40 peratus, setahun selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dan siri PKP yang lain, iaitu PKPB, PKPD hinggalah ke PKPP dan PKP2.0

Kekangan hidup dan ekonomi yang semakin menurun dikatakan antara faktor peningkatan jumlah pendaftar SugarBook.

Turut disertakan   adalah data mengenai 10 universiti di Malaysia yang pelajarnya paling ramai menjadi Sugar Baby, iaitu:

(1) Sunway University: 3,105 pelajar.
(2) INTI International University: 2,624 pelajar.
(3) Taylor’s University: 1,696 pelajar.
(4) TAR University College: 1,600 pelajar.
(5) Universiti Malaya: 1,280 pelajar.
(6) Monash University: 960 pelajar.
(7) LimKokWing University: 864 pelajar.
(8) University of Nottingham: 832 pelajar.
(9) Multimedia University: 768 pelajar.
(10) Universiti Teknologi MARA: 704 pelajar.

Setelah diselidiki bukan sahaja pelajar beragama Islam yang terbabit mendaftarkan diri sebagai penghubung kepada Sugar daddy tetapi juga pelajar beragama Islam yang tanpa segan silu memaparkan imej mereka dan paling menyedihkan golongan yang bertudung.

Ini didapati daripada screen shot laman web berkenaan yang memaparkan wanita bertudung.

Kata Darren,  applikasi itu juga dicipta untuk membantu meringankan bebanan hutang dalam kalangan pelajar.

Malah operasinya juga meresap masuk ke dalam institusi pengajian tinggi dengan berlindungkan program yang memberi manfaat kepada pelajar, walhal ia bakal menjadi bantuan ala pelacuran yang harus ditegah sama sekali.

Darren juga meletakkan kriteria menjadi Sugar baby perlulah jelita dan tidak menipu Sugar Daddynya.

Manakala kriteria Sugar Daddy mestilah ‘fully loaded’ yang bermaksud mempunyai kewangan yang stabil untuk membiayai Sugar Baby yang bakal dipilih.

Melalui terma dan syarat yang dipersetujui, hubungan dan transaksi dijalankan merangkumi kehidupan mewah, dan pulangannya sudah pasti imbuhan seksual dan wang atas khidmat yang ditawarkan.

Dalam satu pendedahan kepada Dailymail.com,  Jessica – bukan nama sebenar, pelajar kedoktoran haiwan, di Universiti Sydney, telah dua tahun membuat hubungan `Sugar’ setelah melihatnya dalam carian di Facebook.

Dia yang mempunyai dua sugar daddy dalam satu masa gembira kerana dapat menikmati pemberian hadiah mewah, cuti di luar negara, yuran pengajian dibayar dan bayaran bulanan.

Walaupun ini adalah penuntut luar negara, senario senegini semestinya mengundang kebimbangan kepada bidang pendidikan negara dan menggambarkan runtuhnya moral seorang mahasiswa.

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, MPPK, menerusi Presidennya, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri menyuarakan kebimbangan itu dan berharap semua pihak menanganinya.

Manakala pelajar yang menghadapi masalah kewangan segera berbincang dengan pihak universiti masing-masing.

Turut menyatakan nada sama ialah Dewan Pemuda PAS Malaysia, yang mendesak Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menyekat laman web dan aplikasi Sugarbook susulan semakin ramai rakyat cenderung terhadap gejala yang disifatkan tidak bermoral.

“Negara China boleh menyekat aplikasi Facebook untuk mengambil langkah keselamatan dari Amerika Syarikat manakala Amerika Syarikat pula boleh menyekat aplikasi TikTok atas alasan mempertahankan keselamatan kebangsaan, dasar luar dan ekonomi mereka dari China. Kenapa kita tidak boleh menyekat aplikasi Sugarbook demi menjaga agama dan generasi muda rakyat Malaysia?”

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga mahu masa depan generasi berilmu ini diselamatkan, bukan sahaja yang beragama Islam malah yang bukan Islam.

“Oleh itu, saya berharap Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) cakna perkara ini dan saya sendiri akan berkomunikasi dengan (Menterinya) Dr Noraini Ahmad. Jika benar disebabkan desakan wang, JAKIM, Jabatan Agama Islam negeri, pusat zakat dan baitulmal mungkin boleh menyalurkan bantuan kewangan.”

Sekali lagi desakan dinyatakan dan Darren sebaliknya bertegas aplikasi yang dibangunkannya bukan mempromosikan pelacuran, sedangkan pada laman webnya, sudah terang lagi bersuluh memaparkan – kata-kata menawarkan  wanita muda yang menukarkan peneman, atau persahabatan dan seks untuk wang, hadiah dengan dimanjai lelaki tua yang  kaya.

Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia, Dr. Kamarul Zaman Hj. Yusoff dalam satu kenyataannya di blog, Shah alamku berkata, harus ada siasatan dan tindakan terhadap Sugar book dan mengapa ia perlu dihalang daripada terus berleluasa.

Beliau sendiri memasuki laman web berkenaan semalam dan mendapati, bahawa seseorang perlu membayar USD62.95, USD48.95 atau USD34.95 sebulan untuk berinteraksi dengan Sugar Baby-nya.

Persoalannya kata beliau,  siapakah yang sanggup membayar sejumlah itu dalam matawang Dollar Amerika, hanya untuk berinteraksi dengan Sugar Baby,  sekiranya ia laman web dan aplikasi palsu.

“Dan jika benar dakwaan ke atas UM dan UiTM, serta ke atas IPT-IPT lain, adalah fitnah maka mengapakah Sugarbook tidak dikenakan tindakan kerana membuat fitnah ke atas institusi negara? Sedih dan kasihan saya melihat muka gadis-gadis Melayu yang menawarkan diri menjadi Sugar Baby melalui Sugarbook, marilah kita selamatkan mereka dari terjebak dalam lembah kemaksiatan.” – Pensyarah Kanan UUM,  Dr. Kamarul Zaman Hj. Yusoff

Pada Rabu, media melaporkan bahawa Malaysia telah dikategorikan pada kedudukan ketiga tertinggi Asia bagi jumlah ‘sugar daddy’ melalui aplikasi ‘Sugarbook‘, sebuah aplikasi tidak bermoral yang menyediakan platform bagi mencari wanita-wanita untuk dijadikan perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai ‘sugar baby’.

Terkini di Kota Bharu semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata dakwaan pembabitan mahasiswa dalam kegiatan tidak bermoral melalui aplikasi `Sugarbook’ perlu disekat.

“Ini satu perkara yang sangat mendukacitakan kita dan saya sudah sebut bahawa pihak kerajaan akan mengenakan tindakan yang lebih keras dan tegas terhadap mereka yang terbabit. Aplikasi itu juga perlu dihalang daripada digunakan di negara kita kerana ia boleh mendorong rakyat melakukan perkara yang tidak betul, melanggar undang-undang dan hukum syarie,” – Timb. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary

Beliau berkata, sekiranya perkara itu benar berlaku, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat khususnya pengendali aplikasi tersebut.

 

 

 

 

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button