Sekurang-kurangnya 45 orang, termasuk 12 kanak-kanak, maut apabila bas yang membawa pelancong ke Macedonia Utara terbabas di lebuh raya di barat Bulgaria pada Selasa, kata pegawai.
Tujuh orang yang berjaya menyelamatkan diri dengan melompat keluar dari bas dikejarkan ke hospital di Sofia dan kini berada dalam keadaan stabil.
Ketua Jabatan Keselamatan Kebakaran dan Perlindungan Awam di Kementerian Dalam Negeri, Nikolai Nikolov, memberitahu kemalangan itu telah menyebabkan 45 orang terkorban, menjadikannya kemalangan bas paling teruk dalam sejarah negara itu.
“Sekurang-kurangnya 45 orang terbunuh selepas sebuah bas terbakar dan terbabas, atau terhempas dan kemudian terbakar,” kata Nikolov.
Namun, setakat ini punca kemalangan masih belum dapat dikenal pasti.
Sementara itu, Perdana Menteri Macedonia Utara Zoran Zaev berkata beliau telah berjumpa dengan salah seorang yang terselamat yang memaklumkan penumpang sedang tidur apabila mereka dikejutkan oleh bunyi letupan.
“Saya berasa gerun . Ini adalah satu tragedi besar,” katanya kepada saluran televisyen swasta BTV.
Ketua perkhidmatan penyiasatan Bulgaria, Borislav Sarafov berkata, empat bas dari agensi pelancongan Macedonia Utara telah memasuki Bulgaria lewat Isnin dari Turki.
Walau bagaimanapun, siasatan awal mendapati kemalangan mungkin sama ada disebabkan oleh kecuaian pemandu ataupun terdapat masalah teknikal bas berkenaan.
-AGENSI
Oleh Hafeez Anuar