Semasa

Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor dicabar

SHAH ALAM : Perbicaraan mengenai keabsahan Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor (berkaitan dengan kuasa semakan kehakiman dalam hal ehwal Islam  di Mahkamah Syariah) dijalankan hari ini di Mahkamah Persekutuan.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, pelbagai firma dan peguam bertungkus lumus mempertahankan Seksyen 66A ini selepas Mahkamah Persekutuan telah memutuskan seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Selangor (Seks Luar Tabii) tidak berperlembagaan dan tidak sah.

“Khamis lepas Mahkamah Persekutuan telah memutuskan seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Selangor tidak berperlembagaan dan tidak sah. Tidak lama lagi, Mahkamah yang sama akan mendengar cabaran keabsahan seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor pula”, katanya di portal rasmi PEMBELA.

Seksyen 66A menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah, boleh, demi kepentingan keadilan, atas permohonan mana-mana orang, menggunakan bidang kuasanya untuk mendengar dan membenarkan permohonan bagi semakan kehakiman terhadap keputusan yang dibuat oleh Majlis atau jawatankuasa dalam menjalankan tugas di bawah Enakmen ini.

Pada September 2020, Mahkamah Persekutuan memutuskan  memberi kebenaran kepada  SIS Forum Berhad (Sisters In Islam) untuk mencabar satu peruntukan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor yang memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah untuk mengkaji semula fatwa dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri itu.

“Kebenaran telahpun diperolehi oleh SIS Forum Berhad (Sisters In Islam) dari Mahkamah Persekutuan menurut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan untuk mencabar peruntukan ini. Kes ini dijangka akan didengar tidak berapa lama lagi.” ujarnya.

SIS Forum Berhad (Sisters In Islam) memohon kebenaran itu berikutan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

“Mahkamah Persekutuan telah menetapkan pada 11 Mac 2021 untuk mendengar saman minta arahan di dalam kes tersebut dan kemudiannya akan menetapkan tarikh pendengaran perbicaraan.” katanya.

Merujuk pada laman Facebook Zainul Rijal yang juga Timbalan Pengerusi PEMBELA, beliau menagih doa dari seluruh masyarakat Islam khususnya agar perbicaraan ini memihak kepadanya.

Hantaran Zainul Rijal di laman Facebook miliknya

Sementara itu, ramai pengguna Facebook menitipkan doa serta kata-kata semangat kepada Zainul di ruangan komen.

Tambah Zainul, kes ini amat penting bagi melihat kedudukan mahkamah syariah dalam sistem perundangan negara.

Semoga kes ini menemui titik penyelesaian yang mampu memberi keadilan serta manfaat kepada seluruh umat Islam serta menjaga dan memelihara martabat kesucian agama yang syumul ini.

Oleh Nurshazlin Shahrom

 

Related Articles

Back to top button