Semasa

Sekolah dibuka 3 Oktober berdasarkan Fasa PPN dan kaedah penggiliran

PUTRAJAYA : Kementerian Pendidikan (KPM) akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka mulai 3 Oktober ini bagi negeri Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan menggunakan kaedah penggiliran murid secara mingguan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Seri Dr Radzi Jidin berkata sesi persekolahan 2021 juga akan dilanjutkan sehingga Mac 2022 bagi memastikan intervensi dalam kalangan pelajar lemah dapat dilaksanakan berikutan pelajar telah lama tidak ke sekolah.

“Kapasiti kehadiran murid setiap minggu ditetapkan pada kadar 50 peratus daripada jumlah keseluruhan bagi mengurangkan jumlah dalam kelas dan risiko penularan Covid-19.

“Semua sekolah di negeri dalam Fasa Satu PPN tidak akan dibuka dalam tempoh itu dan pelajar akan meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Bagi negeri dalam Fasa Dua PPN pula murid berkeperluan khas dibenarkan hadir tanpa penggiliran dan murid sekolah rendah akan meneruskan PdPR.

“Bagi sekolah menengah di negeri dalam Fasa Dua, hanya murid tingkatan enam semester dua, program prauniversiti semester tiga di sekolah sukan dan murid kelas peperiksaan antarabangsa dibenarkan hadir,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dalam pada itu, untuk Fasa 3, katanya, murid prasekolah dan tadika swasta dibenarkan kembali ke sekolah tanpa sistem penggiliran.

Beliau memberitahu bagi Fasa 4, murid Tahap 1 iaitu Tahun 1, 2 dan 3 dibenarkan kembali ke sekolah secara penggiliran bermula 17 Oktober hingga 31 Oktober, dengan murid Tahap 2 iaitu Tahun 4, 5 dan 6 terus menjalani sesi PdPR.

Bermula 31 Oktober hingga 10 Disember, barulah Tahun 4, 5 dan 6 dibenarkan hadir ke sekolah mengikut penggiliran sebagai langkah demi langkah supaya segalanya berjalan dengan lancar sekali gus keselamatan anak-anak sentiasa diberi keutamaan.

Sementara itu, murid berkeperluan khas (MBK) dan juga Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sekolah rendah juga turut akan meneruskan sesi persekolahan bermula tarikh berkenaan.

Radzi turut memaklumkan bahawa meskipun sesi bersemuka sekolah bermula pada 3 Oktober ini, ibu bapa atau penjaga diberi pilihan untuk tidak menghantar anak ke sekolah.

Ketidakhadiran pelajar tidak akan dianggap sebagai satu kesalahan disiplin tetapi ibu bapa perlu menulis surat kepada sekolah mengenai perkara itu.

Katanya, tidak akan ada surat amaran akan diberikan, tetapi ibu bapa hanya perlu menjelaskan mengenai ketidakhadiran itu.

“Perkara itu akan diguna pakai hingga penghujung sesi persekolahan tahun ini,” katanya.

-BERNAMA

 

Related Articles

Back to top button