Semasa

Sediakan tangkap layar sijil digital vaksinasi untuk mudahkan SJR

GEORGE TOWN : Individu yang lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 dinasihatkan agar menyediakan tangkap layar sijil digital vaksinasi dalam telefon pintar masing-masing untuk ditunjukkan kepada petugas bagi melancarkan perjalanan dan pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) di negeri ini.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Fisol Salleh memaklumkan, sumber Kementerian Kesihatan (KKM) Pulau Pinang menyatakan lebih kurang 61.7 peratus penduduk di negeri ini sudah menerima dos pertama vaksin, manakala lebih kurang 27 peratus telah melengkapi dua dos vaksin.

“Bagi memudahkan petugas barisan hadapan terutama di lokasi SJR, mereka yang telah lengkap dua dos ini dinasihat untuk menyediakan tangkap layar berkaitan vaksin yang telah diterima di dalam telefon bimbit masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Fisol, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Ketua-Ketua Polis Daerah akan melaksanakan pemantauan ke atas semua premis bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

Tambah beliau, peraturan dan garis panduan yang telah dikeluarkan adalah jelas menyatakan syarat-syarat untuk mengadakan aktiviti yang dibenarkan seperti sukan, riadah, rekreasi dan sektor sosial.

“Peraturan dan garis panduan ini menyasarkan pelanggan yang memiliki vaksin lengkap bagi menikmati kemudahan seperti ‘dine-in’.

“Pemilik atau pengusaha premis makanan hendaklah memastikan bahawa pekerja telah divaksin dengan mempamerkan sijil penerima vaksin lengkap,” katanya.

Dalam pada itu, pemilik premis juga perlu memastikan bilangan pelanggan di satu meja hanyalah 50 peratus daripada keluasan dan memastikan susun atur meja mengikut jarak yang ditetapkan.

“Sistem pengudaraan di dalam kedai adalah baik dan memastikan hanya pelanggan yang telah menerima vaksin lengkap berada di dalam kedai,” katanya.

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button