Semasa

Sayyidul Ayyam: Mobile Clinic MAIWP-MAPIM dapat sambutan menggalakkan

Kuala Lumpur : Jumaat, penghulu segala hari, dimulakan dengan hujan rahmat. Mobile Clinic MAIWP-MAPIM diteruskan untuk hari kedua di Masjid Abu Hurairah, Kuala Lumpur dengan sambutan yang menggalakkan.

Antara kariah yang hadir termasuklah warga emas, Azman bin Md Sharif, yang menghadapi masalah tonsil. Beliau menerima rawatan daripada Dr. Kamaruddin bin M Isa dan sangat berpuas hati dengan rawatan yang diterima. Azman terkejut apabila mengetahui bahawa rawatan yang bertaraf lima bintang tersebut diberikan secara percuma.

Adik Haura Adwa Binti Abdul Halim yang berusia dua tahun hadir bersama ibunya Haziatun Bin Hamaruddin seorang kerani di Masjid Abu Hurairah untuk mendapatkan rawatan demam panas. Menurut Haziatun, pemeriksaan yang diterima oleh anaknya dan beliau sendiri sangat teliti dan beliau sangat gembira dengan perkhidmatan yang disediakan. Ia memudahkan beliau untuk mendapatkan rawatan di kawasan tempat kerja.

Pelakon Taufik Hidayat Khan pula  mendapat tahu mengenai program Mobile Clinic MAIWP-MAPIM melalui makluman di Surau Al-Hijrah PPR Intan Baiduri, Kepong. Beliau menerima rawatan untuk masalah lutut dan sangat berpuas hati dengan rawatan yang diberikan. Beliau turut menghargai perkhidmatan percuma yang disediakan dan berharap program ini dapat diteruskan ke lebih banyak lokasi.

Alhamdulillah, dalam tempoh dua hari, program Mobile Clinic MAIWP-MAPIM telah berjaya menyantuni 140 orang penduduk sekitar, dengan 70 orang pada hari pertama dan hari kedua. Penerima perkhidmatan sangat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan. Untuk mengikuti lokasi seterusnya Mobile Clinic MAIWP-MAPIM, boleh ikuti media sosial MAPIM untuk perkembangan terkini.

Related Articles

Back to top button