Model terkenal antarabangsa, Bella Hadid meluahkan rasa kesal kerana tidak berpeluang membesar dalam “budaya Islam” bersama bapanya yang merupakan seorang warga Palestin, Mohamed.
Hadid menyatakan bahawa keluarganya “berpecah” apabila ibunya, Yolanda, membawanya ke California selepas bercerai dengan bapanya, lalu terpisah dari keluarga Palestin yang tinggal di Washington.
“Saya ingin bersama bapa saya setiap hari dan hidup dalam budaya Islam, akan tetapi saya tidak berpeluang untuk merasai suasana tersebut .”
Beliau turut menyatakan bahawa dirinya terdedah kepada isu perkauman dan buli atas alasan menjadi satu-satunya gadis Arab di dalam kelasnya, sambil menyatakan bahawa situasi itu membuatkan dia berasa sedih dan sunyi, katanya ketika ditemu bual majalah antarabangsa GQ.
Apabila meningkat dewasa, model berdarah Belanda-Palestin itu semakin banyak bertemu dengan orang-orang Muslim dan menyedari dia lebih selesa bergaul dengan mereka.
Model yang berusia 25 tahun itu bakal membuat penampilan sulung lakonannya dalam drama “Ramy” yang mengisahkan tentang seorang Islam yang tinggal di Amerika memulakan perjalanan hidup dalam “kejiranan New Jersey yang dibahagikan secara politik”.
Hadid menjelaskan bahawa watak yang dipegangnya dalam drama itu selain hubungan persahabatannya dengan salah seorang pelakon, Ramy Youssef telah sedikit sebanyak menghidupkan semula keinginannya untuk kembali kepada asal usulnya.
Memetik artikel dari GQ Magazine, Hadid juga berkongsi cerita tentang hari pertamanya di set penggambaran di mana beliau menerima hadiah dari kru sehelai baju-T yang tertulis “Bebaskan Palestin”.
Untuk rekod, Bella Hadid merupakan antara selebriti antarabangsa yang lantang mengutuk tindakan kejam Zionis terhadap penduduk Palestin.
Beliau menyertai demonstrasi mengutuk serangan Israel terhadap Semenanjung Gaza di New York, Amerika Syarikat (AS) pada tahun lalu.
Bella Hadid ialah anak kedua kepada pemaju hartanah Palestin Mohamed Hadid dan model Belanda Yolanda Hadid, yang berpisah pada 2000 selepas tujuh tahun berkahwin.