KesihatanSemasa

‘Save a number, save a life’ tekankan kepentingan simpan talian kecemasan hospital

KUALA LUMPUR: Tahukah anda bahawa 59% kematian akibat daripada kecederaan semasa kecemasan boleh dicegah jika pertolongan cemas diberikan tepat pada masanya? Keadaan kecemasan sering membuatkan kita tidak bersedia, tidak memberikan kita masa untuk merasa ragu-ragu.

Walaupun bukan semua orang mempunyai kepakaran dalam penjagaan kesihatan, adalah penting untuk melengkapi diri dengan keupayaan melakukan langkah-langkah pertolongan cemas dengan pantas dan bersesuaian dengan situasi yang dihadapi.

Ramai rakyat Malaysia yang tahu mengenai talian kecemasan 999, namun berapa ramai antara kita yang mengetahui tentang nombor hospital terdekat untuk dihubungi sekiranya berdepan kecemasan perubatan? Pada saat-saat genting sebegitu, setiap detik amat bermakna.

Dalam usaha bagi menangani isu berkenaan dan menggalakkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia, Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) melancarkan kempen untuk memperkasakan dan melengkapkan orang ramai dengan maklumat penting yang dapat membantu menyelamatkan nyawa.

SMCV dalam kenyataan memaklumkan kempen ‘Save a Number, Save a Life’ bertujuan mendidik rakyat Malaysia tentang kepentingan mengetahui talian kecemasan penyedia penjagaan kesihatan terdekat.

“Dengan tujuan memupuk budaya kesiapsiagaan, kempen ini ingin meningkatkan kesedaran dan memberikan pengetahuan penting berhubung pengurusan kecemasan perubatan secara proaktif”, menurut kenyataan itu.

SMCV juga akan mengadakan temu bual jalanan di sekitar Kuala Lumpur untuk menilai tahap kesedaran orang awam tentang nombor telefon jabatan kecemasan hospital di kawasan persekitaran mereka.

Temu bual itu dirangka untuk meningkatkan kesedaran orang awam berkenaan nombor yang patut dihubungi dalam situasi kecemasan, serta kesediaan mereka menyimpan nombor telefon penyedia penjagaan kesihatan yang terdekat dalam telefon masing-masing.

Trak bergerak ‘Save a Number, Save a Life’

Turut sama dengan pengenalan aplikasi web kempen yang menggariskan matlamat kempen, dan ‘First Aid E-Book‘ yang mengandungi panduan dan nasihat penting, trak bergerak ‘Save a Number, Save a Life‘ juga akan ditempatkan di pelbagai lokasi dan kawasan kejiranan di seluruh Kuala Lumpur bagi menyediakan lebih banyak maklumat tentang kempen itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMCV, Susan Cheow dalam kenyataan sama menekankan kepentingan kempen berkenaan dengan menyatakan bahawa apabila hospital berkembang menjadi penyedia penjagaan kesihatan tertier untuk masyarakat, komitmennya untuk menjaga komuniti tetap teguh.

“Kempen ini menjadi bukti komitmen kami dengan melengkapkan orang awam dengan ilmu pengetahuan tentang penjagaan kesihatan yang dapat menyelamatkan nyawa. Kami berusaha untuk menjadi tonggak sokongan buat masyarakat, bersedia membantu bila-bila masa dan di mana sahaja yang diperlukan”.

“Walaupun nombor kecemasan hospital mungkin tidak selalu berada dalam tumpuan fikiran kita, kami sedar bahawa memiliki maklumat penting yang mudah diakses sangat penting bagi individu untuk mengharungi keadaan kecemasan dengan yakin dan berkesan“, katanya.

Sekadar foto hiasan

Pakar Perunding Perubatan Kecemasan SMCV Dr Lim Fang Jen pula berkata dengan kempen ‘Save a Number, Save a Life‘, matlamat mereka di Pusat Perubatan Sunway Velocity adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia berkenaan kaedah pertolongan cemas yang tepat pada masanya dapat menghasilkan rawatan yang lebih baik.

Bagi mendalami kempen ‘Save a Number, Save a Life‘ dan meneroka pelbagai inisiatifnya, orang ramai dinasihatkan melayari aplikasi web kempen khusus SMCV untuk mendapatkan maklumat dan sumber penting, penerangan tentang objektif kempen dan usaha berterusan bagi meningkatkan kesedaran dan mempromosikan budaya kesiapsiagaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Semua digalakkan menyertai SMCV dalam misi penting ini bagi memupuk komuniti yang serba lengkap untuk bertindak balas terhadap kecemasan dengan cekap dan ihsan.

BACA JUGA
Bas double decker Mobile Clinic MAIWP-MAPIM satu inovasi yang terbaik

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button