Satu kes kematian dilaporkan berkaitan jangkitan Covid-19 di Parlimen
KUALA LUMPUR : Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan satu kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan semalam yang mempunyai kaitan dengan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang berlangsung dari 26 hingga 29 Julai lepas di bangunan Parlimen.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes itu melibatkan seorang pegawai tinggi kerajaan yang mempunyai sejarah hadir ke Parlimen dari 26 hingga 29 Julai, dengan ujian saringan pra Dewan Rakyat pada 23 Julai dan ujian saringan melalui air liur (RTK-Ag) pada 29 Julai adalah negatif.
“Beliau kemudiaannya menunjukkan gejala pada 31 Julai dan positif ujian PCR (Tindak Balas Berantai Polimerase Masa Nyata) dengan nilai kitaran ambang 14.88.
“Keadaan beliau bertambah teruk dan telah dimasukkan ke hospital pada 4 Ogos untuk rawatan lanjut. Namun keadaan beliau amat kritikal dan meninggal dunia pada 9 Ogos.
“Kes ini merupakan kes kematian pertama yang baharu dikesan positif Covid-19. Kes ini telah hadir semasa persidangan Dewan Rakyat,” menurutnya dalam kenyataan semalam.
Dr Noor Hisham berkata kes itu merupakan antara penambahan sembilan lagi kes positif Covid-19 berkaitan sidang khas di Parlimen menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan berkaitan persidangan tersebut adalah 97 kes.
Beliau berkata terdapat empat kes kontak rapat kepada kes positif Covid-19 hasil saringan semasa pra Dewan Rakyat yang dilaporkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah pada 23 Julai menerusi saringan menggunakan RTK-Ag.
Kesemua kes didapati bergejala ringan serta diberikan Perintah Pengawasan dan Kawalan (HSO) di rumah dan telah pulih serta mula bekerja sesudah tamat HSO.
Beliau juga memaklumkan terdapat emapt kes kontak rapat kepada kes positif Covid-19 yang hadir semasa persidangan Dewan Rakyat termasuk satu dngan nilai kitaran ambang RT-PCR 19.62 manakala yang lain antara 32.76 hingga 36.07.
Dr Noor Hisham berkata enam kes telah mendapat vaksinasi lengkat manakala dua lagi adalah kanak-kanak (kontak rapat kes) yang belum layak mendapat vaksin.
Beliau berkata siasatan KKM setakat ini mendapati walaupun kes positif terbabit tidak mempunyai hubung kait antara satu sama lain kecuali kontak rapat namun perkongsian bilik dan kemudahan asas seperti tandas, surau serta ruang makan oleh ramai individu telah memberi risiko kepada penularan Covid-19 di Parlimen.
“Adalah dimaklumkan bahawa lapan kes Parlimen yang mempunyai nilai kitaran ambang rendah telah dihantar ke IMR (Insititut Penyelidikan Perubatan) untuk ujian genomik. Didapati sebanyak lima daripadanya adalah varian VOC (varian yang membimbangkan) Delta manakala dua sample tidak berjaya diproses dan satu sampel lagi masih menunggu keputusan.
Pada 8 Ogos, dilaporkan sejumlah 88 kes positif Covid-19 dikenal pasti mempunyai kaitan dengna persidangan di Parlimen.
Oleh Hafeez Anuar