Semasa

Santuni Madani & Jelajah Peduli Ummah Bersatu Demi Komuniti: Program Khidmat Masyarakat MAPIM Malaysia Kembali di Sungai Besar

MAPIM Malaysia dengan kerjasama JAWI sekali lagi mengorak langkah melalui inisiatif kemanusiaan terbesar mereka, Santuni Madani & Jelajah Peduli Ummah, yang berlangsung selama tiga hari mulai 15 hingga 17 November 2024 di Kg. Parit Barat 5 dan Parit 6, Sungai Besar, Selangor. Program ini yang bertemakan “Satu Pemimpin Satu Kampung” dan “Sejahtera Insan Al-Falah”, bertujuan untuk menyampaikan bantuan serta membina ikatan silaturahim yang lebih erat dengan komuniti setempat.

Dengan penyertaan lebih 200 sukarelawan, program ini menampilkan pelbagai aktiviti khidmat masyarakat termasuk bantuan makanan, pemeriksaan kesihatan percuma, dan program pendidikan untuk kanak-kanak. Ini dijayakan melalui pemberiaan kotak bantuan makanan asas kepada asnaf selain program Double Decker Mobile Clinic dan MAPIM Mobile Kitchen dengan Zus Coffee sebagai penaja utama.

Program ini juga ditambah nilai dengan acara sukaneka, program malam Cinta Rasul, program Hal Ehwal Islam, kursus Pengurusan Jenazah dan pelbagai lagi acara yang cukup meriah.

Program kali ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta, JAKIM, JAWI, YKM, serta Cinta Gaza Malaysia.  Program ini menjadi contoh terbaik sinergi antara pelbagai pihak dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

Pengarah Program, Hidayat Abdullah, menyatakan bahawa acara kali ini bukan sahaja memberi fokus kepada bantuan material, tetapi juga mendidik masyarakat mengenai pentingnya semangat kesukarelawanan dan kepedulian sosial. “Melalui tema ‘Sejahtera Insan Al-Falah’, kami berhasrat untuk memperkukuh ukhwah dan menyampaikan mesej bahawa setiap kita mempunyai tanggungjawab sosial untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik,” jelasnya.

Program ini yang diilhamkan oleh CEO MAPIM Malaysia, Dr. Sani Araby Al Kahery, berkata, “Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen kami untuk menggerakkan bantuan segera dan memperkukuh jaringan komuniti di peringkat akar umbi.”

Penduduk setempat dijemput untuk bersama-sama memeriahkan program ini serta menyertai aktiviti yang disediakan, termasuk ceramah motivasi, kaunseling keluarga, dan aktiviti riadah untuk kanak-kanak. Dengan penglibatan pelbagai pihak serta masyarakat tempatan, Santuni Madani & Jelajah Peduli Ummah dijangka menjadi program yang penuh bermakna dan berjaya menyemai semangat kebersamaan.

Maklumat Program: Tarikh: 15-17 November 2024 (Jumaat hingga Ahad) Lokasi: Kg. Parit Barat 5 & Parit 6, Sungai Besar, Selangor.

Semua dijemput hadir bagi memeriahkan program ini serta sama-sama menyokong usaha kebajikan yang telah dirancang. Marilah kita bersama-sama menunjukkan semangat Malaysia yang prihatin dan peduli kepada mereka yang memerlukan.

Related Articles

Back to top button