Sang Belang mengancam SK Balar pula ?
GUA MUSANG : Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan sedang mengawasi tiga ekor harimau yang dipercayai mengancam penduduk di kawasan perkampungan Orang Asli Gua Musang, Kelantan.
Selepas Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai diancam harimau sehingga sesi pembelajaran bersemuka terpaksa ditangguhkan, kini SK Balar pula dikhuatiri diancam haiwan berkenaan.
Dua ekor harimau dilaporkan dikenal pasti di pagar asrama SK Balar, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelajar dan penduduk setempat di kawasan itu.
Seorang guru sekolah mendedahkan situasi itu menerusi catatan Facebook semalam, “Tiger Malaya mari ziarah SK Balar. Doakan kami semoga sentiasa dalam perlindungan Allah,” katanya ringkas.
Sementara itu, Pengarah Hidupan Liar Kelantan Mohamad Hafid Rohani mengesahkan pihaknya menerima maklumat kehadiran harimau itu di sekolah berkenaan.
“Kami telah menerima maklumat mengenai kewujudan harimau di SK Balar, dan kami sedang memeriksa serta memantau pergerakan harimau itu.”
“Kami telah memasang tiga perangkap kamera di Pos Bihai setakat ini, dan kami akan meneruskan usaha menangkap harimau itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu media pada Jumaat melaporkan seorang lelaki Orang Asli maut dibaham harimau dalam kejadian di Kampung Sau dekat Pos Bihai.
Pada jam 9.10 pagi, mangsa Anek Along dikatakan menumbuk padi huma di halaman rumah bersama anak perempuannya.
Susulan kejadian itu, sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai, secara bersemuka terpaksa ditangguhkan kerana mengalami ancaman serangan harimau.
Sementara itu, Bernama melaporkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) masih memantau dan mengawal harimau di perkampungan Orang Asli Pos Bihai di Gua Musang selepas orang ramai mengadu mengenai harimau berkeliaran di kawasan itu sehari sebelumnya.
Jabatan Hidupan Liar telah memasang tiga perangkap harimau belang (perangkap wahab), dua di Kampung Tendrik dan satu di Kampung Hak, Pos Bihai, menurut jabatan itu.
Sebahagian besar populasi Harimau Malaya terletak di hutan simpan di Semenanjung Malaysia, khususnya di kompleks Banjaran Taman Negara-Titiwangsa, menurut hasil Tinjauan Harimau Kebangsaan Pertama (NTS1).
Jabatan Hidupan Liar menyatakan bahawa ia sentiasa memantau dan memaklumkan orang ramai mengenai operasi mengesan dan memerangkap harimau bintang, serta langkah keselamatan yang mesti dipatuhi apabila meninggalkan rumah.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan berwaspada apabila terserempak dengan haiwan, dan sebarang aduan atau maklumat berkaitan hidupan liar perlu disalurkan kepada Jabatan Hidupan Liar Kelantan melalui talian 011-59275985, hotline 1-800-88-5151, atau e-aduan di www.wildlife.gov.my.
Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM