DuniaSemasa

Sambutan Halloween di Arab Saudi dibantah umat Islam seluruh dunia

Oleh: Noorielyana – Wartawan Pelatih Ummah Today

RIYADH: Arab Saudi telah membenarkan penduduknya meraikan sambutan Halloween secara besar-besaran di Riyadh Boulevard pada Isnin.

Perkara ini telah menerima pelbagai kecaman dan bantahan daripada umat Islam di seluruh dunia. Turut menyuarakan bantahan adalah personaliti dakwah & penulis, Ustazah Asma’ Harun.

Beliau menyeru seluruh umat Islam bagi menyatakan menolak dan menyatakan ketidaksetujuan terhadap segala acara yang melibatkan aktiviti maksiat dan juga hiburan sia-sia.

Menurutnya, Arab Saudi merupakan penjaga bagi dua kota suci untuk umat Islam dan langkah membenarkan sambutan Halloween adalah sangat tidak wajar. Beliau meluahkan rasa terkilan selepas melihat bagaimana Arab Saudi menerimanya secara terbuka malah akan meraikannya secara besar-besaran.

Tambahnya,  beliau berharap semua acara hiburan tidak bermoral dan keterlaluan yang diadakan di mana-mana negara dihapuskan dan ditamatkan, bagi mengelak perkara mungkar itu diterima dalam kalangan umat Islam.

Ustazah Asma’ turut mengaitkan perayaan itu bukanlah pertama kali disambut di sana, bahkan pernah berlaku pada tahun 2018. 

Halloween, yang dahulunya dilarang, kini diraikan di Arab Saudi?

Menurut kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan, Halloween merupakan perayaan yang disambut pada 30 Oktober setiap tahun bagi memperingati orang yang telah mati. Halloween juga disebut dengan Hallowe’en dan perayaan ini juga disebut sebagai All Hallow Eve atau All Saints’ Eve.

Perkataan Halloween/Hallowe’en muncul dalam tahun 1745M dan agama kristian dikatakan memulakan penggunaannya. Perkataan halloween bermaksud “hallowed evening” atau “holy evening” (petang yang mulia) dan dikatakan juga berasal dari bahasa Scotland (Scottish). Orang Celt di Scotland dikatakan merayakan perayaan ini dengan tradisi paganisme sempena musim menuai mereka.

“hukum menyambut Halloween bagi umat Islam adalah HARAM kerana terdapat unsur-unsur tasyabbuh yang tidak dibenarkan di dalam Islam dan diharapkan anak-anak muda kita dapat menghindarkan diri dari terjebak ke dalam kancah maksiat ini,” tegas kenyataan Mufti.

 

Related Articles

Back to top button