PUTRAJAYA : Mobile Clinic anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) telah dijemput ke Karnival Putrajaya yang berlangsung di Dataran Putrajaya, Presint 3 bermula semalam dan berakhir pada Ahad ini yang menawarkan khidmat pemeriksaan kesihatan percuma kepada para pengunjung.
Sehingga setakat ini, seramai 77 orang telah mengambil peluang menggunakan perkhidmatan mobile clinic tersebut ini dan rata-rata mereka memberikan respon positif terhadap layanan mesra para doktor serta fasiliti yang disediakan.
Menurut seorang pengunjung, Norizal Andut, 43, dia merasakan program seperti ini sangat memudahkan mereka yang tidak berkemampuan untuk ke hospital, lebih-lebih lagi ubat-ubatan juga adalah percuma.
“Ada orang mungkin susah nak pergi ke klinik atau hospital, lagi-lagi warga emas yang tiada kenderaan, atau anak-anak pula tinggal berjauhan, jadi tiada siapa yang boleh bantu membawa mereka.
“Tetapi bila ada program seperti ini, semua urusan jadi mudah sebab bas klinik bergerak ini datang dekat dengan rumah, orang pun tak perlu pergi jauh-jauh,” menurutnya.
Selain itu, bagi Siti Haslinda, 41, dia berpuas hati terhadap layanan mesra oleh doktor dan berasa lebih yakin selepas diberi penerangan mengenai tips dan langkah mudah penjagaan kesihatan.
“Selama ini saya rasa takut bila jumpa dengan doktor, tetapi hari ternyata selepas doktor menjelaskan tentang tahap kesihatan saya dengan cara mesra dan lemah lembut, ia membuatkan saya rasa selesa serta banyak info baharu yang saya peroleh,” katanya.
Oleh yang demikian, mereka yang berkelapangan bolehlah mengisi masa hujung minggu dengan menghadiri Karnival Putrajaya ini. Sambil berseronok melakukan aktiviti-aktiviti menarik yang disediakan, anda juga boleh meluangkan masa untuk memeriksa tahap kesihatan anda.
Seramai dua orang doktor bertugas pada hari ini serta dibantu oleh enam orang sukarelawan bagi memudahkan lagi gerak kerja program ini.
Esok orang ramai masih lagi berpeluang untuk mencuba perkhidmatan Mobile Clinic MAIWP-MAPIM ini yang akan mula beroperasi pada pukul 10 pagi sehingga 5.30 petang.