`Sajat, kami dah tahu lokasi persembunyian kamu” : PDRM
Dipercayai masih berada di sekitar kawasan Lembah Klang
PETALING JAYA – 21 Mac : Polis Selangor sudah mengenal pasti lokasi persembunyian usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat yang dipercayai telah melarikan diri dari sebutan semula kes mahkamah.
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, usaha untuk mengesan Nur Sajat masih sedang giat dijalankan dengan kerjasama pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
“Kalau dia enggan serah diri, kita akan ambil tindakan,” – Pemangku Ketua Polis Selangor / Datuk Arjunaidi Mohamed
Nur Sajat telah didakwa kerana menjadi penyebab agama Islam dipandang hina selepas memakai pakaian menyerupai wanita di sebuah majlis bacaan Yaasin dan solat Hajat.
Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam kemudian membenarkan Muhammad Sajjad diikat jamin RM3,000 dan menetapkan 23 Februari bagi sebutan semula kes.
Walau bagaimanapun, pihak mahkamah akhirnya mengeluarkan waran tangkap terhadap Nur Sajat kerana gagal menghadirkan diri ke mahkamah.
“Setakat ini, kami masih belum menahan usahawan kosmetik itu. Polis akan terus bekerjasama dengan pihak JAIS dalam hal ini,” – Pemangku Ketua Polis Selangor / Datuk Arjunaidi Mohamed
– UTUSAN online
Oleh Pelatih Komunikasi dan Pengajian Media Kewartawanan Hafeez Nor Hanif bin Anuar