Covid19Semasa

Sabah benarkan 50 peratus kehadiran di masjid, surau

KOTA KINABALU : Jemaah di masjid dan surau kini dibenarkan untuk solat Jumaat serta solat lima waktu berjemaah dengan jumlah kehadiran 50 peratus di Sabah dan mula berkuat kuasa hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun memaklumkan kebenaran tersebut melibatkan iman dan ahli jawatankuasa masjid atau surau yang telah lengkap divaksinasi.

Menurutnya, setiap masjid dan surau diminta membuat penandaan jarak di antara jemaah bagi memudahkan pematuhan penjarakan fizikal satu meter seperti ditetapkan sebelum ini.

Mengulas lanjut, jemaah juga dikehendaki membawa sejadah sendiri, selain wajib memakai pelitup muka sepanjang masa dan mendaftarkan kehadiran sama ada menggunakan aplikasi MySejahtera atau secara bertulis.

“Hanya jemaah yang masih dalam pemantauan, golongan berisiko tinggi, mempunyai simptom seperti demam, batuk, selesema, sesak nafas dan alahan serta kanak-kanak bawah 12 tahun tanpa ditemani ibu bapa tidak dibenarkan hadir ke masjid atau surau.

“Masjid atau surau perlu melakukan proses sanitasi penuh dan jemaah lain yang hadir pada hari berkenaan perlu melakukan saringan mengikut prosedur Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekiranya ada jemaah yang disyaki atau disahkan positif Covid-19,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pada 11 Februari lalu, kerajaan negeri mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang mengehadkan semula kehadiran di masjid dan surau kepada maksimum 150 orang atau satu pertiga ruang lantai tertutup berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19 di negeri ini.

-AGENSI

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button