
Oleh Azrina Amri, wartawan pelatih
SEPANG – Selepas dua tahun tidak dapat mengadakan sambutan hari raya kerana pandemik Covid-19, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengadakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MAPIM Malaysia pada sabtu lepas bertempat di MAPIM Malaysia Central Warehouse, Bandar Serenia, Sepang.
Sebagai tuan rumah, tetamu disambut mesra oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia, (Dr.) Sani Araby Al Kahery, Setiausaha Agung MAPIM, Tuan Zulhanis Zainol dan Bendahari, Kolonel Bersekutu (PA) Haji Faris bin Hussien.
Majlis rumah terbuka yang terpaksa dilewatkan pada penghujung Syawal ini adalah disebabkan MAPIM perlu mendahulukan kerja-kerja kemanusiaan yang lebih utama dalam menyantuni ummah.
Rumah terbuka Aidilfitri itu berlangsung dari jam 4 petang sehingga 11 malam yang menerima kunjungan hampir 1,000 tetamu dalam suasana meriah dari pelbagai latar belakang, kaum dan agama.
Antara tetamu yang turut menyerikan majlis ini adalah, Ybhg Prof Madya Dato’ Dr. Izhar Ariff, Nur Heliza binti Helmi, Yatt Hamzah, Ketua Pegawai Eksekutif GISB Datuk Lokman Hakim, dan wakil-wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Aman Palestin yang diwakili sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Ustaz Awang Suffian Awang Piut, Amal Ehsan Care, Pertubuhan Pencinta Ummah, Yayasan Amal Malaysia, MyAqsa Defenders, Charity Care Malaysia, Pertubuhan Amalteam Malaysia, Pusat Bimbingan Alternatif Cinta Syria Malaysia, Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia yang hadir dengan pengasasnya Yg Bhg Ustazah Datin Hajah Aminah Zakaria, wakil daripada Kedutaan Turki dan ramai lagi tetamu yang memeriahkan rumah terbuka Aidilfitri MAPIM Malaysia.
Sementara itu, presiden MAPIM Malaysia, Mohd Azmi Abdul Hamid turut mengucapkan tahniah kepada semua petugas MAPIM yang bertungkus-lumus dalam menjayakan majlis rumah terbuka ini, beliau yang turut diiringi Timbalan Presiden MAPIM, Ustaz Zulkifly Ibrahim memberikan sumbangan duit raya kepada anak yatim dari Rumah Anak Yatim Al-Fateh dan juga kanak-kanak yang hadir ke majlis ini.
Dalam majlis tersebut, kebanyakan tetamu yang hadir bersama keluarga turut memakai busana tradisional seperti baju melayu dan baju kurung bagi menceriakan majlis rumah terbuka dan mereka berpeluang merasai lebih 10 hidangan yang disediakan berkonsepkan layan diri serta menu ayam bakar dan kambing bakar antara juadah paling mencuri tumpuan tetamu.
Majlis turut diserikan lagi dengan persembahan artis nasyid daripada kumpulan, Far East, Rabbani, Halim Ahmad, Mestika serta Fuad Prikustik.
Tetamu juga turut berpeluang melihat sendiri aset-aset dan gudang MAPIM, di mana segala aset dan barangan bantuan ditempatkan.
Para tetamu yang hadir mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan majlis berlangsung dengan penuh kemeriahan serta berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.