Rumah beralas simen, beratapkan zink jadi tempat tinggal atuk bersama 6 cucu
Follow kami di https://t.me/UmmahTodayNews Informasi berita ummah bagi perkembangan semasa dalam arus perjuangan ummah
Platform medsos : https://linktr.ee/UmmahToday
GOMBAK : “Saya sorang je jaga cucu-cucu ni. Isteri dah 3 tahun lebih tak ada. Nak tak nak saya kena lah berkorban.” luah Muhammad Salleh Zahari, yang kini berusia 64 tahun.
Melihat ketabahan si Atuk membesarkan enam orang cucu yang merupakan anak yatim & seorang anak istimewa yang kini berusia 30-an cukup mengagumkan.
Lebih menarik, anak kandung Salleh, Anuar, seorang individu kelainan upaya (OKU) mampu mencari rezeki dengan menjual buah-buahan di tepi Lebuh Raya Gombak.
“Anuar ni rajin bekerja. Biarpun dia OKU tapi dia pandai mengira duit. Sebab tu orang berani ambil dia kerja.
“Tiap kali dia balik mesti dia bawa balik makanan. Baik hati Anuar ni.” ulas Salleh.
Salleh menceritakan kisah hidup beliau sebelum ini seorang pemandu bas mini (pink) yang berkhidmat belasan tahun.
Namun, terpaksa berhenti kerana masalah kesihatan & gengaman tangannya mulai lumpuh.
Hampir 20 tahun Salleh bergantung kepada ubat-ubatan daripada klinik kesihatan untuk penyakit gout yang dihidapinya.
Buat masa kini, Salleh dan cucu-cucunya berlindung di dalam rumah yang cukup daif, beralaskan simen, berdindingkan batu-bata yang tidak di cat, tanpa tirai untuk melindungi terik matahari.
“Dah bertahun tinggal dekat sini. Ini sahajalah yang mampu. Nak pindah mana pun tak tahu. Tak apalah ini pun cukup baik. Dulu tinggal di rumah flat, tinggi sangat saya tak larat.” jelasnya.
Ketika Salleh ditemu bual, kelihatan riak wajahnya cukup gembira, meraikan kehadiran sukarelawan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan AsSakinah Selangor .
MAPIM Malaysia dan Persatuan Kebajikan AsSakinah Selangor hari ini turun padang ke kawasan Gombak bagi meninjau keluarga asnaf & menghulurkan kotak bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Pengerusi AsSakinah Selangor, Ruhaiza Mohamed, berkata usaha sama Assakinah Selangor dan MAPIM Malaysia buat kali pertama ini merupakan langkah yang baik untuk membantu mereka yang memerlukan.
“Ini merupakan kerjasama MAPIM Malaysia dan Assakinah Selangor buat kali yang pertama. Alhamdulilah, semuanya berjalan dengan lancar dan kita harapkan kerjasama ini berterusan untuk masa akan datang.” kata Ruhaiza Mohamed
Gabungan MAPIM Malaysia dan AsSakinah Selangor akan terus dipergiat bagi meluaskan sayap bantuan dengan tujuan meringankan beban keluarga yang memerlukan terutamanya ketika pasca pandemik ini.
Oleh Nurshazlin Shahrom