KUALA LUMPUR : Ringgit mencecah paras tertingginya sejak Julai 2018 hari ini, apabila meningkat buat minggu ketujuh berturut-turut didorong kenaikan harga minyak mentah.
Penganalisis Pasaran FXTM, Han Tan, berkata kenaikan harga minyak mentah melepasi paras AS$50 setong buat kali pertama sejak Mac menjadi pemacu utama kepada pengukuhan mata wang tempatan itu.
“Ringgit dilihat menyerap tekanan daripada data pengeluaran perindustrian Oktober yang lebih rendah dari jangkaan, di mana faktor luaran kekal menjadi pemacu utama kepada pergerakannya,” katanya.
Tan berkata, minat risiko kekal dipengaruhi oleh perkembangan vaksin COVID-19 di seluruh ekonomi utama serta perkembangan berkaitan dengan rangsangan fiskal AS yang baharu.
“Isyarat seperti itu dapat meningkatkan tekanan ke atas dolar AS, sementara membenarkan kenaikan lebih banyak untuk seluruh pasaran tukaran asing.
“Untuk minggu akan datang, jika ringgit berjaya menjangkaui paras di bawah 4.05, maka mata wang Malaysia hanya menunggu masa untuk mencecah paras 4.00.”
Sementara itu, pasaran saham tempatan juga meneruskan kenaikannya apabila kekal positif lima hari berturut-turut sebelum mengakhiri minggu ini untuk ditutup pada paras tertinggi sejak 4 Julai 2019.
Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang mencecah 1,684.58 mata hari ini disokong lonjakan aktiviti belian dalam saham perbankan.
Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata saham Public Bank meningkat 8.4 peratus, manakala institusi perbankan lain termasuk Maybank mencatat kenaikan sebanyak 6.3 peratus sekali gus menyokong FBM KLCI.