Covid19Dunia

Ribuan hamster di Hong Kong dimusnahkan

HONG KONG : Kira-kira 2,000 hamster di Hong Kong terpaksa dimusnahkan selepas sebahagian daripadanya diuji positif Covid-19.

Langkah itu dibuat susulan seorang pekerja kedai haiwan peliharaan dan pelanggan yang mengendalikan hamster dijangkiti Covid-19.

Setiausaha kesihatan, Sophia Chan berkata, pekerja berkenaan dijangkiti varian Delta, yang ketika ini agak jarang dilaporkan di Hong Kong.

“Di peringkat antarabangsa, tiada bukti menunjukkan haiwan peliharaan boleh memindahkan Covid-19 kepada manusia namun, kita mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya dalam sidang media.

Sebanyak 11 sampel positif ditemui pada hamster yang dijual di Little Boss di Causeway Bay.

Sekitar 1,000 haiwan dari kedai itu dan gudangnya akan dimusnahkan, manakala kakitangan dan pelanggan akan diuji.

Seramai 150 individu yang mengunjungi kedai itu juga diminta mengasingkan diri termasuk 20 kakitangan gudang.

Sebanyak 1,000 lagi hamster daripada puluhan kedai haiwan peliharaan sekitar Hong Kong juga akan dimusnahkan dan perniagaan diminta menghentikan operasi.

Pihak berkuasa percaya ia diimport dari Belanda dan menggesa individu yang membeli hamster dari kedai berkenaan selepas 22 Disember menyerahkan haiwan berkenaan untuk dimusnahkan.

-AGENSI

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button