Covid19Semasa

Rentas negeri & daerah tanpa kebenaran PDRM tidak dibenarkan hingga 6 Jun

Aktiviti perhimpunan, kesesakan awam dihalang

KUALA LUMPUR: Semua aktiviti rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara tidak dibenarkan, berkuat kuasa Isnin ini hingga 6 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sepanjang tempoh itu juga aktiviti berkaitan sosial, pendidikan dan ekonomi yang boleh menyebabkan perhimpunan atau kesesakan awam, adalah tidak dibenarkan.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini.

“Ini termasuk aktiviti rasmi, sosial dan aktiviti bersemuka oleh kerajaan serta swasta. Bagaimanapun, keputusan ini akan disemak semula selepas dua minggu,” – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Beliau berkata, bazar Ramadan yang tersenarai dalam sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) akan ditutup tiga hari berkuat kuasa serta- merta.

“Ketika ini, kerajaan sentiasa meneliti SOP dan sekiranya berlaku pertambahan kes harian, kerajaan akan mendapatkan nasihat dan penilaian risiko daripada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membolehkan SOP itu diperketatkan,” – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Beliau berkata, trend penularan COVID-19 dalam negara semakin membimbangkan ditambah dengan penemuan varian baharu virus itu.

Katanya, ia menyebabkan beberapa negeri melaksanakan PKP secara bersasar seperti Kedah, Selangor, Johor dan terbaharu Pulau Pinang serta Pahang, susulan beberapa kawasan di negeri berkenaan bertukar menjadi zon merah.

“Bagi memastikan tiada kekeliruan, segala keputusan dan pengumuman pelaksanaan PKP di mana-mana kawasan atau negeri akan dibuat oleh Kerajaan Persekutuan selepas ia diputuskan dalam sidang mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Hari ini jangkitan kes harian COVID-19 negara ialah sebanyak 4,519 kes.

 

Related Articles

Back to top button