Oleh Azrina Amri, wartawan pelatih
GEORGETOWN : Muhammad Irfan Mikail Mohd Shukri, menghembuskan nafas terakhirnya malam tadi, selepas remaja itu menghidap kanser Acute Lymphoblastic Leukaemia (ALL) tahap akhir.
Allahyarham Irfan Mikail meninggal dunia pada jam 12.30 tengah malam di rumahnya di Kampung Guar Syed Alwi, Kangar, Perlis dan berusia 15 tahun.
Presiden Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN), Maznah Tayib mengesahkan khabar duka tersebut menerusi hantaran di Facebook.
“Telah pulang seorang wira kanser kepada Maha Pencipta sebentar tadi, Irfan Mikael Mohd Syukri telah menghembuskan nafas terakhir tepat jam 12.30 malam di kediaman keluarganya di Guar Syed Alwi kangar Perlis,
“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diletakkan di kalangan para Syuhada,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sebelum ini, media melaporkan hasrat remaja berkenaan yang bercita-cita mahu menjadi juruterbang bagi menaiki pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Hasratnya telah ditunaikan oleh pihak TUDM oleh No 15 Skuadron, Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang dengan bantuan Kolej Tentera Udara yang mengkoordinasi bersama pihak FOCCAN pada rabu lalu.
Irfan Mikail dibawa dari kediamannya di Kampung Guar Syed Alwi, Kangar Perlis ke Pengkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang sambil diiringi ibu dan bapanya, Mazatul Rohana Salleh, 50, dan Mohd Shukri Talib,54, serta abangnya Mohd Adam Hakimi, 19.
Pengalaman itu dapat dirasai oleh Irfan Mikail yang dibawa melawat ke Pusat Simulator Pejuang dan sempat mengendalikan simulator F/A -18D.