Ebit Lew dapat kebenaran awal masuk Gaza: Nadir Al Nuri
Ada syarat tambahan untuk masuk
KUALA LUMPUR : Pendakwah bebas, Ebit Lew dan rombongannya yang kini berada di Kaherah, Mesir dilaporkan telah mendapat kebenaran awal untuk memasuki Gaza, Palestin bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan.
Memetik Berita Harian, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nadir Al Nuri Kamarulzaman, berkata berdasarkan maklumat yang diterima, pihak berkuasa tempatan turut meletakkan beberapa syarat tambahan untuk dipatuhi pasukan misi bantuan kemanusiaan Ebit Lew.
Beliau yang menetap di Gaza hampir 10 tahun, berkata syarat berkenaan antaranya bertujuan memastikan keselamatan perjalanan masuk misi bantuan kemanusiaan itu ke Gaza.
“Tetapi kalau berlaku pertambahan serangan Zionis Israel ketika ke atas bumi Gaza seperti yang berlaku beberapa hari ini, mungkin peluang untuk mereka masuk menjadi semakin rendah. Serangan itu akan digunakan sebagai alasan untuk menghalang kemasukan mereka,” – Nadir Al-Nuri Kamarulzaman CEO Cinta Gaza Malaysia
Awal pagi Rabu lalu, Israel melancarkan serangan udara di Semenanjung Gaza dengan mendakwa ia sebagai tindak balas terhadap tindakan pejuang wilayah itu menghantar belon api ke selatan Israel.
Israel sekali lagi melancarkan serangan udara awal pagi semalam, terhadap beberapa lokasi milik kumpulan bersenjata di barat laut Bandar Gaza dan utara Beit Lahia di wilayah yang terkepung.
Dua serangan ini adalah yang pertama berlaku di Gaza sejak Israel dan pejuang Hamas bersetuju untuk gencatan senjata pada 21 Mei lalu susulan serangan 11 hari tentera Israel di wilayah berkenaan yang menyaksikan lebih 260 penduduk Palestin terbunuh.
Semalam, sumber Wisma Putra mengesahkan Ebit Lew serta rombongannya berada di Kaherah dan masih belum boleh memasuki Gaza untuk menyampaikan sumbangan.
Kata sumber itu, Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Ebit Lew juga masih mengadakan perbincangan bersama pihak berkuasa bagi memudahkan urusan kemasukan ke Gaza.
Ebit Lew dan rombongan bantuan kemanusiaannya berlepas ke Mesir pada 25 Mei lalu dan pada hari sama, Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaffar menjelaskan misi bantuan yang dijadualkan bermula 25 Mei hingga 30 Mei itu mendapat kelulusan perjalanan dan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) semasa.
Kata Kamaruddin, urusan dan persediaan berkaitan misi itu sudah dirancang serta dibuat oleh Ebit Lew sendiri melalui kerjasama dengan rakan badan bukan kerajaan (NGO) mereka di Mesir.
Pada 27 Mei lalu, Ebit Lew melalui satu hantaran di Facebook, memaklumkan selamat tiba di Mesir dan membeli barangan keperluan asas serta ubat-ubatan yang akan dibawa menggunakan dua treler dan beberapa lori untuk dihantar terus ke hospital di Gaza pada hari terbabit.
Oleh : Muhammad Nasrul Haqim bin Mohd Nasir – Pelatih Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
MASA UNTUK BERTINDAK!
Sumbangan anda untuk rakyat Palestin yang menderita sangat diperlukan.
Klik :
ATAU
menerusi Akaun Maybank
Dana MAPIM :
5628 3463 6620
MAPIM Malaysia boleh dihubungi menerusi talian Hotline MAPIM Malaysia iaitu 1300-888-038 (Isnin-Jumaat 9am-6pm) atau whatapps 012-800-2016
Ikuti update terkini