PalestinSemasa

Rakyat Palestin ‘tidak akan menyerah, penentangan akan diteruskan’ — Hamas

Ketua Biro Politik Hamas menegaskan bahawa pasukan penentang akan terus mempertahankan hak Palestin selepas serangan ke atas kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza.

Dalam satu kenyataan pada hari Sabtu, Ismail Haniyeh menegaskan bahawa israel “terus membunuh kanak-kanak dan wanita Palestin secara beramai-ramai di Kem Pelarian Nuseirat dan Deir al Balah di tengah Gaza.”

Beliau berkata israel enggan menghentikan “perang genosid” terhadap rakyat Palestin walaupun dunia melabelkan Tel Aviv sebagai “pembunuh kanak-kanak” – merujuk kepada PBB yang memasukkan israel dalam senarai hitam dan organisasi yang membahayakan kanak-kanak di zon konflik.

“Rakyat kita tidak akan menyerah kalah, pejuang akan terus mempertahankan hak kita daripada pembunuh ini,” tambahnya.

‘Kegagalan tentera di Gaza’

Haniyeh menekankan bahawa jika israel “percaya ia boleh memaksakan peraturannya kepada rakyat Palestin, ia mesti memahami bahawa itu adalah khayalan.”

Beliau seterusnya menyatakan bahawa Hamas “tidak akan menerima sebarang perjanjian yang tidak menjamin keselamatan rakyat Palestin.”

Haniyeh menegaskan bahawa israel telah mengalami kegagalan ketenteraan di Gaza dan kini berada pada “tahap paling rendah” dari segi politik dan moral, menekankan keperluan mendesak untuk tindakan daripada masyarakat antarabangsa.

Kenyataannya dibuat selepas tentera israel mengumumkan bahawa ia telah berjaya membebaskan empat tebusan yang ditahan di tengah Gaza.

Terdahulu pada hari Sabtu, tentera israel melancarkan serangan ke atas beberapa kawasan di tengah Gaza, mengakibatkan pembunuhan berpuluh-puluh rakyat Palestin, terutamanya kanak-kanak dan kecederaan berpuluh-puluh lagi, menurut sumber perubatan Palestin.

SUMBER: AA

 

Related Articles

Back to top button