PalestinSemasa

Rakyat Palestin Bergelut Apabila Air Bersih Terputus di Gaza

Gaza kini berdepan krisis air bersih yang semakin meruncing selepas serangan balas tentera Israel menyebabkan bekalan dari saluran paip utama Mekorot diputuskan. Saluran paip itu membekalkan kira-kira 70 peratus air bersih kepada wilayah terkepung itu.

Menurut pihak berkuasa perbandaran, ratusan ribu penduduk Gaza City kini kehilangan satu-satunya sumber air bersih mereka. Serangan ke atas kejiranan Shejaiya dan kemusnahan loji penyahgaraman “Gabayin” telah menjejaskan keupayaan penduduk untuk mendapatkan air minum dan air untuk kegunaan harian.

“Saya sudah menunggu sejak pagi, tetapi tiada lori air, tiada stesen. Tiada apa-apa. Hanya lintasan ditutup dan harapan agar perang ini akan berakhir dengan damai,” luah Faten Nassar, 42 tahun, yang tinggal di utara Gaza.

Tentera Israel belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai serangan ke atas infrastruktur air tersebut. Minggu lalu, Israel turut mengarahkan pemindahan penduduk Shejaiya sebelum melancarkan serangan besar-besaran di kawasan itu.

Jurucakap majlis perbandaran Gaza, Husni Mhana, berkata bahawa situasi di Gaza kini amat genting. “Kehidupan harian rakyat menjadi semakin sukar, bukan sahaja kerana kekurangan makanan, malah keperluan asas seperti air untuk minum, memasak, dan kebersihan juga terjejas.”

Sebahagian besar daripada 2.3 juta penduduk Gaza telah kehilangan tempat tinggal akibat perang yang berlarutan sejak Oktober 2023. Ramai yang kini terpaksa berjalan kaki jauh, sebahagian besarnya warga emas dan kanak-kanak, untuk mendapatkan air dari beberapa perigi yang masih berfungsi.

Adel Al-Hourani, 64, berkata, “Saya sudah tua, dan perlu berjalan setiap hari hanya untuk sedikit air. Ia amat memenatkan dan menyedihkan.”

Satu kenyataan bersama oleh Biro Perangkaan Palestin dan Pihak Berkuasa Air pada 22 Mac lalu menyatakan lebih 85 peratus infrastruktur air dan sanitasi di Gaza kini rosak sama ada sepenuhnya atau sebahagiannya. Loji penyahgaraman yang menjadi penyambung nyawa penduduk juga telah dihentikan operasinya akibat ketiadaan elektrik dan bekalan bahan api.

Satu-satunya sumber air semula jadi Gaza — Lembangan Akuifer Pantai — telah tercemar teruk dengan 97 peratus kandungannya tidak lagi selamat untuk diminum. Ini disebabkan pencemaran, pengekstrakan berlebihan dan kemasinan tinggi.

Akibat kerosakan besar ini, kadar bekalan air harian telah merosot kepada hanya 3–5 liter setiap orang, jauh di bawah paras minimum kecemasan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu 15 liter sehari.

Ketika dunia menyaksikan krisis kemanusiaan ini semakin memuncak, penduduk Gaza terus berjuang demi keperluan hidup paling asas — seteguk air bersih.

 

Sumber: TRT World.

Related Articles

Back to top button