DuniaSemasa

Rakyat Jordan bantah perjanjian bekalan tenaga elektrik dengan Israel

AMMAN : Ribuan rakyat Jordan menjalankan demonstrasi sebagai tanda protes terhadap perjanjian bekalan tenaga elektrik yang ditandatangani bersama Israel.

Perjanjian tersebut menyaksikan loji solar di padang pasir Jordan akan menjana tenaga elektrik untuk penduduk negara haram Israel.

Menurut laporan Anadolu, perarakan bermula di hadapan Masjid Husseini di ibu negara, Amman, dan diteruskan ke Dataran Al-Nakhil kira-kira satu kilometer jauhnya, seorang wartawan Agensi Anadolu melaporkan dari tempat kejadian.

Demonstrasi itu dianjurkan oleh parti politik dan kesatuan sekerja di Jordan untuk menolak keputusan Kerajaan Hashemite mengadakan perundingan dengan Tel Aviv mengenai kemungkinan projek tenaga dan air bersama.

Pada Isnin, Jordan mengumumkan pemeteraian perjanjian untuk penukaran air dan bekalan tenaga dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Israel.

Ketiga-tiga negara akan memulakan perbincangan untuk meneroka kemungkinan projek tenaga dan air bersama, menurut Kementerian Air dan Pengairan Jordan.

Kementerian berkata dalam satu kenyataan bahawa pengisytiharan niat bermaksud “memasuki proses kajian kebolehlaksanaan pada tahun 2022, di mana Jordan mampu memperoleh 200 juta meter padu air setiap tahun.”

Untuk rekod, bulan lalu Jordan menandatangani perjanjian dengan Israel untuk membeli 50 juta meter padu air dari Tel Aviv – jumlah tambahan kepada apa yang ditetapkan dalam perjanjian damai yang ditandatangani antara kedua-dua negara pada 1994.

Jordan kini menduduki tempat kedua dalam senarai negara miskin air dunia, menurut indeks air global.

-AGENSI

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button