KerohanianSemasa

Raja Permaisuri Agong berangkat hadiri World #QuranHour 2023

GOMBAK: Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan berangkat menyertai program World #QuranHour 2023 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tunku Azizah tiba di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM pada 11.45 pagi bagi sama-sama mengikuti program yang membawa tema ‘Memanusiakan Ummah’ melalui agenda Humanising the Home, Humanising the Workplace, Humanising the Nation serta Humanising the World.

World #QuranHour kali ke-8 ini diadakan secara fizikal setelah tiga tahun ia hanya disiarkan secara dalam talian serta stesen televisyen berikutan pandemik COVID-19.

Edisi tahun ini mengangkat Surah Al-Insan iaitu surah ke-76 sebagai surah utama dan ia diadakan serentak di seluruh dunia pada hari ini bersamaan 22 Ramadan 1444 Hijrah bermula 12 tengah hari hingga 1 tengah hari.

Menurut Penganjur Warisan Ummah Ikhlas Foundation, Surah Al-Insan dipilih bagi menanamkan nilai-nilai memanusiawikan ummah dengan 11 karakter insan Al-Abrar iaitu orang berkebajikan yang terkandung dalam surah tersebut.

Program World #QuranHour itu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Syeikh Hasan Abdul Ghani Abu Sittah dan bacaan Surah Al-Baqarah oleh Ustaz Abdul Khair Jalil.

Ia diikuti bacaan Surah Al-Insan secara bergilir oleh Ustaz Tarmizi Abdul Rahman, Ustaz Ahmad Termizi Ali, Ustaz Amirahman Abas, Muhammad Harith Hakimi Mohd Rostan, Ustaz Husaini Mahmur dan Syeikh Rami As-Sousi dari Palestin.

Sementara itu, sesi tadabbur pula disampaikan oleh Ketua Pegawai Penyelidikan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas Fazrul Ismail, Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud dan Jurulatih Utama Tadabbur Centre Ustaz Syaari Ab Rahman selepas setiap 5 ayat daripada surah itu dibacakan.

Raja Permaisuri Agong kemudian bersama-sama hadirin World #QuranHour melafazkan ikrar untuk menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam membentuk kerangka pemikiran dan sistem operasi diri berpandukan 11 karakter Al-Abrar dalam Surah Al-Insan yang diketuai Penceramah Bebas Amin Idris.

Tunku Azizah sempat bertemu dan beramah mesra bersama kira-kira 3,000 orang yang hadir termasuk mahasiswa UIAM sebelum berangkat meninggalkan majlis.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button