RIYADH: Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman pada Rabu melancarkan pelan induk projek Rua Al-Madinah iaitu membangunkan sayap timur Masjid Nabawi, Madinah bagi menerima kedatangan lebih ramai jemaah umrah dari dalam dan luar Arab Saudi.
Saudi Press Agency memetik kenyataan Putera Mohammed bin Salman berkata, “Rua Al-Madinah ini selari dengan objektif Wawasan 2030 dalam meningkatkan kapasiti jemaah umrah kepada 30 juta orang menjelang tahun 2030 mengikut kriteria dan standard yang tertinggi.”
“Ini membuktikan komitmen Arab Saudi dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah umrah di Madinah Al-Munawwarah sebagai destinasi kebudayaan Islam yang moden”.
Projek pembangunan itu akan dijalankan di kawasan berkeluasan kira-kira 1.5 juta meter persegi, menempatkan 47 ribu unit penginapan menjelang 2030, di samping kawasan tanah lapang dan hijau.
“Projek ini turut menyediakan 9 stesen bas, stesen kereta api bawah tanah, laluan kenderaan pandu sendiri dan tempat letak kereta bawah tanah bagi memudahkan perjalanan jemaah ke Masjid Nabawi, selain menyediakan peluang pekerjaan serta merancakkan aktiviti perniagaan setempat”, jelas Putera Mohammed bin Salman dalam kenyataannya.
Rua Al-Madinah dijangka dapat meningkatkan mutu dan taraf hidup penduduk Madinah serta jemaah umrah yang melawat bandar itu dengan peningkatan kapasiti hotel termasuk perkhidmatan terbaik yang ditawarkan di sayap timur Masjid Nabawi.