GENEVA : Beberapa serangan ke atas pusat penjagaan kesihatan di Ukraine telah berlaku dan kini mereka sedang melakukan penyiasatan sekiranya fasiliti lain turut menjadi sasaran.
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus mengesahkan perkara tersebut dan memberitahu bahawa ia telah mengakibatkan beberapa kematian dan kecederaan.
“Serangan ke atas fasiliti penjagaan kesihatan atau pekerja melanggar piagam perubatan dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya di Twitter.
Dalam hantarannya, Tedros bagaimanapun tidak menyebut sama ada Russia mendalangi serangan itu.
Untuk rekod, di Lviv, Ukraine, lebih 200 kanak-kanak dipindahkan dari sebuah rumah kebajikan anak yatim di dalam zon konflik Ukraine dekat selatan bandar Lviv semalam, selepas 24 jam perjalanan menaik kereta api dengan penjaga mereka.
Sebanyak 215 kanak-kanak merangkumi bayi sehingga remaja, meninggalkan rumah kebajikan anak yatim di Zaporizhzhia dekat tenggara Ukraine, pada hari tentera Russia melakukan serangan berhampiran stesen kuasa nuklear.
-AGENSI