Covid19Semasa

Program vaksinasi kanak-kanak bermula Februari depan

KUALA LUMPUR : Bermula Februari depan, kanak-kanak berumur antara 5 hingga 12 tahun akan mula menerima vaksin sejurus vaksin Pfizer kanak-kanak tiba ke Malaysia hujung bulan ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pelancaran program pemberian vaksinasi kanak-kanak itu akan diadakan pada 3 Februari 2022 di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur.

“Susulan itu, pada penghujung Januari 2022 sistem tempahan janji temu menerusi MySejahtera akan dibuka secara berperingkat dengan memberi tumpuan kepada ibu bapa di Lembah klang terlebih dahulu.

“Sebagai permulaan, ibu bapa boleh mula mendaftarkan anak sebagai tanggunggan dalam aplikasi MySejahtera mereka selain perincian mengenai akses kepada sistem tempahan janji temu itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Mengulas lanjut, pemberian dos 1 vaksin Pfizer (kanak-kanak) dalam sistem pendidikan disasarkan sebanyak 70 peratus dalam kalangan umur 5 hingga 12 tahun dalam tempoh 2 bulan dari tarikh program dilancarkan

“Selain itu, sebanyak 80 peratus kanak-kanak juga disasarkan akan lengkap divaksin dalam tempoh enam bulan pelaksanaannya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Khairy menjelaskan, buat masa ini, keutamaan vaksinasi diberikan kepada penerima yang mempunyai masalah kesihatan merangkumi penyakit seperti respiratori kronik, kardiovaskular, Immunosuppression, kencing manis, ginjal kronik dan penyakit saraf.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button