Program ‘Jom Buat Tabung’ himpun 560 murid
Turut tersenarai dalam Malaysia Book of Records

KUALA LUMPUR: Program didik hibur ‘Jom Buat Tabung’ bagi memberi pendedahan tentang ilmu asas pengurusan kewangan kepada kanak-kanak berjaya mengumpulkan seramai 560 murid dan guru daripada 50 sekolah rendah di sekitar Lembah Klang.
Pengarah Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia, Noreen Zulkepli berkata program bertempat di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia itu bertujuan memupuk kesedaran pengurusan wang secara berhemah melalui aktiviti menghasilkan tabung daripada kadbod menerusi seni origami secara serentak.
“Program berdasarkan konsep ‘Simpan, Belanja dan Kongsi’ memberi pendedahan kepada kanak-kanak tentang pengetahuan asas mengurus kewangan supaya mereka boleh mula dari kecil dan merancang masa depan lebih cerah“, katanya kepada pemberita pada program diadakan bersempena Festival Kanak-Kanak @ MAG 2022 di sini hari ini.
Program itu turut menyaksikan catatan rekod yang dilakarkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) untuk Peserta Teramai dalam Acara Membuat Tabung.
Sijil pengiktirafan berkenaan disampaikan oleh Penganalisis Penyelidikan MBOR, Siti Nurhanim Mohd Nohyang, yang turut dihadiri Konsultan Rekod MBOR, Siti Hajar Johor.
Sementara itu, murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Jinjang Tengah 1, Soo Khai Rou, 11, berkata penyertaan dalam program itu menjadi penggalak dalam menyemai semangat menabung yang diamalkannya sejak berusia 7 tahun.
“Rasa sangat seronok dan bersemangat untuk menabung dengan lebih kerap dan kumpul lebih banyak wang simpanan selepas ini apabila lihat rakan-rakan sebaya juga amalkan budaya sama“, katanya.
Guru Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kampung Baru, Huzaina Husin, 29, pula menyifatkan penganjuran seumpama itu mampu menjadi platform untuk murid termasuk pendidikan khas mempertingkatkan kemahiran sosial dan memperluas pergaulan di luar bilik darjah. – BERNAMA
BACA JUGA
Anak perempuan 7 tahun ditemui meninggal dunia di bawah timbunan