GEORGETOWN 31 Mac : Prebet Adam atau nama sebenarnya Adam Jaafar dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) awal pagi semalam dipercayai akibat jangkitan kuman di paru-paru.
Menurut laporan BERNAMA, adik beliau, Hawa Jaafar telah mengesahkan Adam yang berusia 57 tahun, meninggal dunia kira-kira 9 pagi semalam ketika menerima rawatan di HPP dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak.
“Sebelum ini abang memang tiada sakit apa-apa, Allahyarham sihat sahaja cuma kadang-kadang demam, itu biasalah, cuma minggu lepas dia masuk hospital dan pemeriksaan doktor kata ada jangkitan kuman pada paru-paru,” – Hawa Jaafar
Adik-beradik beliau, Arzat Jaafar dan Anisah Jaafar turut mengongsikan pemergian Adam menerusi laman Facebook mereka.
Tanggal 11 Oktober 1987, nama Prebet Adam pernah menggemparkan negara selepas terlibat dalam kejadian amuk sehingga mengakibatkan seorang lelaki terbunuh akibat terkena tembakan rambang.
Prebet Adam yang berusia 26 tahun ketika kejadian itu berlaku terlepas dari hukuman mati dan dihantar ke Hospital Tanjung Rambutan di Perak selama 10 tahun selepas disahkan tidak siuman ketika melakukan kesalahan tersebut.
Pada 2018, isu mengenai Adam mengamuk itu kembali mendapat perhatian ramai selepas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan pendapat peribadinya dan mengkritik ‘individu berumur 93 tahun yang ingin menjadi perdana menteri’.
Susulan daripada itu, Hawa memohon maaf kepada kerabat diraja Johor yang diheret ke dalam insiden tersebut dan menyatakan abangnya mengamuk disebabkan masalah di tempat kerja dan tiada kaitan dengan kerabat diraja Johor.
Adam ketika itu mengalami tekanan perasaan yang teruk kerana dibuli, didera mental dan fizikal oleh para seniornya di kem tentera mereka.
Hawa turut menafikan adiknya dibunuh oleh Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail semasa berkhidmat sebagai caddy golf kepada Almarhum, di mana ia menjadi punca Adam mengamuk di ibu negara.
“Adam mengamuk di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada tahun 1987 kerana masalah di tempat kerja dan bukannya kerana adik kami dibunuh Almarhum Sultan. Semua adik-beradik kami masih hidup, hanya seorang sahaja yang sudah meninggal dunia pada tahun 1975 kerana kejadian kebakaran di rumah,” – Hawa Jaafar
Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Kewartawanan – Hafeez Anuar