Acap kali kita lihat masyarakat sekeliling kini sering membuat andaian sendiri tanpa soal selidik.
Apa yang terpampang di dada akhbar atau media sosial bukanlah penentu buat kita untuk menilai seseorang individu.
Islam amat menitikberatkan sikap bersangka baik atau husnudzan dalam sesuatu perkara.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا
“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya. “
(Al‐Isra : 36)
Su’udzan bunuh silaturahim
Su’udzan atau prasangka buruk adalah sikap keji yang boleh mendatangkan perpecahan antara satu sama lain.
Su’udzan bermaksud perasaan curiga atau syak wasangka kepada seseorang yang belum terbukti kesalahannya sehingga mendatangkan fitnah dan benci.
Jika kita perhatikan, budaya buruk sangka ini semakin berjangkit tanpa kita sedari.
Mudah menilai dan melontarkan komen di ruangan laman sosial tanpa memikirkan perasaan orang lain adalah sifat yang dicela.
Jaga lidah, jaga hati
Pendakwah terkemuka, Ustazah Asma’ Harun menjelaskan adalah penting untuk seorang yang beragama Islam supaya sentiasa berhati-hati dan menjaga lidah kerana ia berkait rapat dengan hati.
Melibatkan sangkaan buruk ini sesungguhnya Allah SWT melarang keras akan perbuatan tersebut :
Dalam Surah Al-Hujurat, ayat 12, Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip dan janganlah mengumpat satu sama lain. Adakah seorang di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.”
Ujar Ustazah Asma’ , firman Allah SWT dalam surah ini menggambarkan situasi orang yang ghibah iaitu pada awalnya bersangka kemudian berusaha mencari bukti untuk membenarkan sangkaannya.
Apabila berlakunya ghibah Allah SWT bertanya :
“..Adakah seorang di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati?”
Justeru, awasilah lidah kita dan hindarilah diri daripada bersangka buruk sehingga mampu membuka aib saudara kita yang lain.
Walau bagaimanapun, ada beberapa hal bersangka baik itu perlu tetapi ia bukanlah kunci untuk seseorang itu terlepas daripada kesalahan jika terbukti ianya bersalah.
Wallahu A’lam