Semasa

Polis siasat kes buli pelajar asrama

KAMPAR : Polis mengesahkan dokumen siasatan telah difailkan berhubung kes buli melibatkan seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata agensinya telah mengambil perhatian mengenai kejadian itu dan sedang menjalankan siasatan menyeluruh.

“Saya sudah mengarahkan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob untuk menyiasat bila kejadian buli ini berlaku kerana kadang-kadang kejadian (berlaku) lama, tetapi ditularkan semula.

“Video itu memang menunjukkan episod buli dengan memukul perut mangsa, jadi, polis akan menyiasat,” katanya selepas menghadiri majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kampar yang baharu di premis Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar di sini hari ini.

Video yang dimuat naik di media sosial awal minggu ini menunjukkan sekumpulan pelajar mengepung dan menumbuk perut mangsa sambil ketawa sesama sendiri.

Menurut Mior Faridalathrash, kejadian itu berlaku di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Kangsar, berdasarkan teguran netizen.

“Bagaimanapun, kita belum dapat menentukan sama ada kejadian itu berlaku di Kuala Kangsar atau di tempat lain.”

“Pihak polis sentiasa menghantar pegawai perhubungan sekolah (PBS) untuk melakukan pemantauan di sekolah,” katanya.

-AGENSI

Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM

Related Articles

Back to top button