
KUANTAN : Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.
Memetik akhbar Sinar, tengah hari tadi Al-Sultan Abdullah menunaikan solat Jumaat bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Masjid Al-Imam Ash-Shafie KotaSAS di Kuantan.
BERNAMA juga melaporkan kenderaan yang membawa Perdana Menteri dilihat memasuki pagar Istana Abdul Aziz Indera Mahkota pada kira-kira 4.40 petang, diiringi pasukan keselamatan dan sejumlah kenderaan rasmi kerajaan negeri Pahang.
Pengamal media mula berkumpul di laluan masuk ke istana itu seawal 2.30 petang, selepas ura-ura Perdana Menteri akan menghadap Seri Paduka mula tersebar sejak tengah hari tadi.
Beliau terdahulu mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Perdana Putra, Putrajaya pagi tadi, dipercayai bagi membincangkan isu-isu semasa.
Turut dilihat memasuki Perdana Putra ialah kenderaan yang membawa menteri-menteri Kabinet dan PAT Affendi Buang.
Spekulasi pengisytiharan darurat politik tersebar di media-media.
UmmahToday juga difahamkan taklimat harian Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan juga dibatalkan pagi tadi.
Malah sidang media beliau yang dijadualkan sebentar tadi, hari ini hanya digantikan dengan kenyataan media oleh Kementerian Kesihatan.
Setakat laporan ini ditulis pihak media masih menanti hasil Perdana Menteri mengadap Yang di-Pertuan Agong sejak jam 4:00 petang ini.