KerohanianPendidikanSemasa

Jadikan agama Islam sebagai bahan jenaka adalah satu dosa besar

­­Perbuatan seorang wanita menghina Islam di sebuah kelab komedi dengan membuka baju sambil mendakwa telah menghafal 15 juzuk al-Quran telah mencetus kemarahan umat Islam di negara ini.

Tindakan biadab tersebut dianggap sengaja mempermain ajaran Islam mengenai kewajipan menutup aurat dan menggambarkan seolah-olah mereka yang menghafal al-Quran juga boleh sahaja berpakaian yang menjolok mata.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa perbuatan mengejek sesuatu amalan atau kepercayaan dalam agama Islam kebiasaannya dilakukan oleh insan yang jahil ilmu agamanya.

Mempersendakan agama itu termasuklah mempersendakan nama Allah SWT atau Nabi SAW, mempermainkan perintah dan laranganNya.

Berjenaka sehingga mempersendakan dan menjadikan agama sebagai bahan gurauan adalah dilarang. Ini dapat difahami menerusi firman Allah SWT:

وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا ۚ وَذَكِّرْ بِهِ أَن تُبْسَلَ نَفْسٌ بِمَا كَسَبَتْ

Maksudnya: “Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji).

Surah al-An’am (70)

Mereka juga memetik Imam al-Nawawi yang berpendapat perbuatan mempersendakan agama bagi seseorang muslim adalah haram bahkan boleh membawa kepada murtad.

Sementara itu dari sudut undang-undang yang berkuatkuasa di negara ini, perbuatan berjenaka dengan mempersenda dan menghina agama adalah menjadi suatu kesalahan jenayah syariah.

Menurut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, apa-apa perbuatan menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina serta mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam boleh disabitkan sebagai suatu kesalahan.

Hal ini tertakluk di bawah Seksyen 7. Menghina, atau menyebabkan dipandang hina, dll agama Islam dan Seksyen 8. Mempersendakan, dll. ayat Al-Quran atau Hadith.

Kesimpulannya, trend menggunakan agama sebagai bahan jenaka ini sebenarnya telah menjadi kebiasaan di negara barat melalui filem-filem, rancangan televisyen, nyanyian dan juga pentas komedi.

Justeru agama juga bebas untuk dikritik dan dipersoalkan oleh sesiapa sahaja atas dasar kebebasan bersuara (freedom of speech) dan berekspresi (freedom of expression).

Dalam pada itu, kejahilan itu hanya dapat diubati dengan ilmu pengetahuan sama ada melalui pengajian atau merujuk kepada individu yang lebih berpengetahuan.

Masyarakat di Malaysia seharusnya bersama-sama menolak jenaka yang mempersenda apa jua unsur agama, budaya dan adat masyarakat dan melihat trend ini sebagai ancaman kepada keharmonian hubungan antara agama dan bangsa yang dinikmati di negara kita selama ini.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button