ROM: Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte meletak jawatannya berkuatkuasa hari ini.
Conte mengumumkan peletakan jawatannya dan dipercayai dalam usaha untuk menubuhkan kerajaan baharu selepas pergolakan politik selama berminggu-minggu.
Pejabat Perdana Menteri mengesahkan Conte mengadakan mesyuarat Kabinet dan memberitahu barisan menterinya hasratnya untuk berkunjung ke Quirinale (Pejabat Sergio Mattarella) bagi menyampaikan hasrat peletakan jawatannya itu.
Media dalam laporannya menjangkakan Conte akan mendapatkan mandat baharu bagi membentuk kerajaan dalam mentadbir Itali yang sedang berperang dengan COVID-19.
Sehingga kini, lebih 85,000 penduduk di Itali terkorban akibat COVID-19, sekali gus melumpuhkan ekonomi negara itu.
Gabungan pakatan yang mentadbir Itali sebelum ini berdepan perpecahan sejak bekas Perdana Menteri, Matteo Renzi meninggalkan partinya, Italia Viva pada 13 Januari lalu.
Conte ‘bertahan’ dengan undi percaya di Parlimen minggu lalu tetapi gagal mendapatkan majoriti di Senat, sekali gus menyebabkan kerajaan yang dibinanya adalah lemah.
Peletakan jawatannya dilakukan menjelang pemilihan utama reformasi kehakiman akhir minggu ini, di mana penganalisis berpendapat kerajaan berisiko berdepan kekalahan.
Tidak lama selepas pengumuman itu, parti terbesar di Parlimen, Five Star Movement (M5S), mengumumkan pendirian mereka untuk menyokong Conte.
“Kami kekal berpihak kepada Conte,” kata pemimpin parti, Davide Crippa dan Ettore Licheri melalui kenyataan, di sini. – AFP