Semasa

PLUS tawar ganti RFID rosak secara percuma

KUALA LUMPUR : Gantian pelekat secara percuma ditawarkan kepada pengguna lebuh raya yang dikendalikan oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang mengalami kerosakan pelekat system teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

Ketua Perhubungan Libat Urus Strategik PLUS Syed Mohammed Idid Syed Ahmed Idid berkata, bagi membantu mereka yang mengalami masalah dengan pelekat RFID, mereka telah menambah jumlah petugas di plaza tol.

“Kita ada orang ‘standby’ (tunggu sedia) dengan peranti ‘hand held’ (pegang tangan), kalau RFID tidak dapat ‘detect’ (kesan), kita akan bantu beli satu kupon untuk pergi ke fitment (pusat pemasangan) Touch ‘n Go (TnG) yang terdekat untuk ‘check’ (periksa) RFID.

“Kalau waktu itu TnG masih tidak dapat ‘detect’, kita akan beri RFID ‘tag’ yang baharu secara percuma,” katanya.

Keputusan itu dibuat susulan kesesakan teruk yang berlaku di plaza tol di Lembah Klang termasuk Plaza Tol Putra Mahkota dan Sungai Besi ekoran kegagalan RFID berfungsi pada waktu puncak ketika hujan.

Ini mengakibatkan ramai pengguna meluahkan rungutan dan PLUS telah mengambil tindakan penambahbaikan segera dengan menggandakan kehadiran petugas mereka di plaza tol selain meningkatkan keterlihatan papan tanda arah bagi pengenalan lorong RFID.

Transaksi tol menggunakan teknologi RFID untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan bermula 15 Jan lepas.

Sistem RFID membolehkan pengguna lebuh raya menikmati perjalanan lebih lancar tanpa perlu berhenti dan bergerak di lorong RFID dengan kelajuan 30 km/j serta membolehkan pengguna melaksanakan transaksi tol tanpa sentuh.

-Diolah dan disunting dari artikel BERNAMA

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button