Plaza Tol, Persimpangan Bertingkat Shah Alam dibuka semula
SHAH ALAM : Plaza Tol dan Persimpangan Bertingkat Shah Alam kini dibuka semula secara berperingkat kepada semua pelanggan lebuh rayanya.
Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, pihaknya kini dalam proses menjalankan kerja pembersihan, pengalihan kenderaan terkandas, pemeriksaan menyeluruh dan kerja pembaikan ke atas aset lebuh raya serta peralatan tol yang rosak disebabkan air banjir.
“Laluan yang terjejas kini telah dibuka secara berperingkat.
“Namun, dinasihatkan agar para pelanggan untuk tetap berhati-hati dan mematuhi papan tanda amaran kerana masih ada di beberapa bahagian jalan yang masih ditakungi air banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, PLUS mengucapkan terima kasih atas sokongan semua pihak termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, serta semua agensi-agensi lain dan orang perseorangan yang terlibat
“Mereka bersama-sama berganding bahu dalam misi menyelamat dan memindahkan pelanggan lebuh raya yang terkandas, terutamanya mereka yang telah memberikan kerjasama demi memastikan operasi menyelamat berjalan lancar.
“Kesabaran mereka telah membantu memastikan kesealamatan serta keselesaan semua kekal menjadi keutamaan PLUS,” katanya.
PLUS turut mengingatkan pelanggan lebuh raya untuk menyemak status banjir semasa dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.
Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini di laman web PLUS, www.plus.com.my dan platform media sosial termasuk Facebook PLUS Malaysia dan Twitter PLUSTrafik serta PLUS App.