KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara seperti sebelum ini, sebaliknya menggunakan kaedah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar.
“Jika dilaksanakan sekali lagi, ia akan bawa kesan besar, runtuhkan sistem sosial dan ekonomi negara, nauzubillah.
“Tetapi sekarang kita laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Bersasar di kawasan yang ada kes COVID-19 tinggi,” katanya menerusi perutusan khas, hari ini.
Muhyiddin berkata menerusi pendekatan sedemikian, katanya, aktiviti ekonomi dan sosial di kawasan lain yang tidak terjejas boleh diteruskan dengan amalan prosedur operasi standard (SOP) ketat serta penguatkuasaan undang-undang tegas.
“Saya percaya kesiapsiagaan sistem kesihatan kita akan membolehkan kita menangani penularan COVID-19 tanpa perlu kita menutup sektor-sektor ekonomi yang pernah dilakukan sebelum ini.
“Setakat ini, proses pemulihan ekonomi berjalan dengan lancar. Apa jua keputusan yang diambil, perlu mengambil kira kepentingan 15 juta rakyat kita yang keluar bekerja. Ini penting bagi menjamin kelangsungan hidup rakyat dan kestabilan ekonomi negara,” katanya.
– Bernama