Pinda Akta DBP 1959 untuk daulatkan bahasa Melayu
Perkasa dan memartabatkan penggunaan bahasa Melayu
KUALA LUMPUR: Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 perlu dipinda bagi memperkasakan dan memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha, berkata pindaan itu selaras dengan hasrat penubuhan DBP sejak 65 tahun lalu untuk menggerakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa ilmu.
“MBM ingin mengambil kesempatan pada hari ini, 22 Jun 2021 untuk mengucapkan selamat ulang tahun DBP yang ke-65 sambil mengulangi sokongan berterusan supaya Akta DBP 1959 dipinda. Tujuan pindaan yang dicadang sejak tahun lalu itu adalah untuk memberi kuasa kepada DBP mengenakan tindakan terhadap pihak yang ingkar kepada penggunaan bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.” – Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) / Jufitri Joha
“Seksyen terbabit memperuntukkan bahawa segala urusan rasmi kerajaan harus menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara,” katanya dalam kenyataan hari ini. (22 Jun()
Jufitri berkata, berdasarkan pemerhatian MBM, penggunaan bahasa Melayu khususnya dalam mesyuarat dan majlis rasmi kerajaan masih di tahap kurang memuaskan.
Malah pihaknya mendapati bahasa Inggeris turut digunakan secara berleluasa.
“MBM sentiasa mendokong dasar Mendaulatkan Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris dan menyeru pemimpin belia serta anak muda Malaysia terus yakin dan berbangga untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu; bahasa komunikasi; bahasa perpaduan dan bahasa global masa depan.
“Pada masa sama bahasa Inggeris wajib diperkasakan di samping menguasai bahasa-bahasa asing lain,” katanya.
Oleh : NurFaisal Hakim – Pelatih Fakulti Filem, Teater, dan Animasi UiTM