SemasaSukan

Piala Dunia: Maghribi singkir Sepanyol dalam penentuan penalti

Maghribi meraikan kemenangan mereka dengan menaikkan bendera Palestin

DOHA: Pasukan Morocco (Maghribi) cipta sejarah terbaharu dengan mara ke pentas suku akhir Piala Dunia 2022 dengan menewaskan antara gergasi bola sepak Eropah, Sepanyol 3-0 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat seri tanpa jaringan pada pusingan 16 terbaik pagi tadi.

Pada aksi Stadium Education City itu, skuad La Roja kendalian Luis Enrique membariskan kesebelasan terbaik dengan Marco Asensio, Dani Olmo dan Ferran Torres mengemudi jentera serangan.

Pasukan Maghribi yang terkenal dengan jolokan ‘Atlas Lion’ sebelum itu menjuarai peringkat kumpulan turut membariskan pemain bertaraf bintang mereka seperti Hakim Ziyech, Achraf Hakimi dan penjaga gol utama, Yassine Bounou.

Kedua-dua pasukan dilihat beraksi dengan taktikal berbeza apabila Sepanyol lebih banyak menguasai bola manakala Maghribi pula melakukan serangan balas pantas.


Pada penentuan penalti, penjaga gawang gol, Bounou menjadi wira buat Maghribi selepas menyelamatkan 3 sepakan penalti pasukan lawan yang diambil oleh Sarabia, Soler dan kapten pasukan, Sergio Busquets.

Sementara itu, pemain Maghribi, Abdelhamid Sabiri, Ziyech dan Hakimi berjaya menunaikan tanggungjawab masing-masing sekali gus membawa pasukan mara ke suku akhir buat kali pertama dalam sejarah.

Kejayaan Maghribi menjuarai Kumpulan F sebelum ini membolehkan Persatuan Bola Sepak DiRaja Maghribi (FRMF) menerima habuan besar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dengan wang tunai sebanyak AS$13 juta (RM56.7 juta).

Nilai tersebut akan bertambah menjadi AS$17 juta (RM74.5 juta) sekiranya mereka mara ke peringkat suku akhir nanti.

BACA JUGA
Pemuda ditembak ‘point blank’ oleh israel, dibiar tanpa rawatan

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button