DuniaSemasa

Pfizer-BioNTech yakin dos penggalak tingkatkan tahap antibodi sehingga 25 kali ganda

Syarikat farmaseutikal Pfizer-BioNTech memaklumkan pengambilan dos penggalak vaksin Covid-19 mampu meningkatkan tahap perlindungan individu terhadap varian Omicron.

Kenyataan yang dikeluarkan ini berdasarkan kajian semasa vaksin Covid-19 yang dilaksanakan oleh syarikat vaksin itu terhadap varian baharu.

Objektif kajian itu adalah untuk menguji sejauh mana keberkesanan vaksin yang dihasilkan dalam meneutralkan varian Omicron.

Dalam kajian tersebut didapati terdapat kelemahan dalam pengambilan dua dos pertama.

Bagaimanapun, berbebza dengan pengambilan dos penggalak, keputusan kajian mendapati tahap antibodi meningkat sebanyak 25 kali ganda.

Walau demikian, data itu adalah merupakan data awal dan belum disemak secara saintifik.

Menurut laporan BBC, bagi vaksin jenis Moderna, Johnson & Johnson dan vaksin jenis lain, masih tiada data penting dikeluarkan untuk melawan varian jenis baharu itu.

Pengarah kecemasan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Mike Ryan sebelum ini berkata tiada tanda varian Omicron akan lebih baik dalam melawan vaksin berbanding varian lain.

“Kami mempunyai vaksin yang sangat berkesan dan telah terbukti berkesan terhadap semua varian setakat ini.” ulas Dr Ryan kepada agensi berita AFP.

Selain itu, Ketua Eksekutif Pfizer, Albert Bourla berkata perlindungan terhadap varian itu akan dipertingkatkan dengan dos ketiga jab.

“Pihak kami ingin memastikan seramai mungkin orang diberi vaksin sepenuhnya dengan dua siri dos pertama dan penggalak kekal sebagai tindakan terbaik untuk mencegah penularan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Bagaimanapun, Pfizer dan BioNTech menyatakan bahawa keputusan itu masih awal dan menjelaskan mereka akan terus mengumpul data dan “menilai keberkesanan pada dunia sebenar”.

Tambah Bourla, pihaknya sedang membangunkan vaksin khusus Omicron yang akan sedia untuk dihantar dalam masa 100 hari.

Related Articles

Back to top button