Peta lukisan tangan temukan lelaki dan keluarganya selepas 33 tahun terpisah
ANKARA : Peta lukisan tangan telah menemukan semula seorang lelaki China dengan keluarganya setelah 33 tahun terpisah selepas dirinya menjadi mangsa culik, menurut laporan China Daily.
Li Jingwei, 37, yang baru berusia 4 tahun ketika dia diculik di kampung halamannya, Zhaotong di barat daya wilayah Yunnan. Dia kemudiannya dibawa ke sebuah bandar, Lankao yang terletak kira-kira 1,600 kilometer dari kampung halamannya.
Walaupun usianya masih muda, Li mengetahui keseluruhan proses penculikan dan dia sering melukis gambar kampung halamannya dalam usaha untuk tidak melupakan kenangannya.
Pada pertengahan Disember lalu, Li, telah memuat naik video di Internet untuk mencari keluarganya untuk menunjukkan peta lukisan tangan yang menggambarkan landskap kampung halamannya.
Walaupun Li menyangka proses untuk bersatu semula dengan keluarganya akan mengambil masa beberapa tahun, pihak berkuasa akhirnya menemui seorang wanita yang dipercayai ibunya, dan ujian DNA kemudian mengesahkan Li adalah anaknya. Kedua-duanya bertemu pada 1 Januari 2022.
“Apabila saya melihat keluarga saya pada hari pertama tahun baru, saya rasa seperti dilahirkan semula,” katanya yang turut bertemu dengan adik-beradiknya.
Malangnya, bapa kandung Li telah meninggal dunia. Dia kini merancang untuk menghabiskan Tahun Baru Cina bersama ibunya dan melawat kubur ayahnya di Yunnan.
Penculikan dan pemerdagangan kanak-kanak adalah isu kronik di China. Setakat November tahun lalu, lebih 8,300 kanak-kanak yang hilang di China sejak beberapa dekad sebelumnya telah ditemui di bawah inisiatif yang digelar Tuan Yuan (perjumpaan semula).
-AGENSI