Semasa

Pesawat Israel dapat kelulusan lalu ruang udara Malaysia

Israel sedar kekuatan siber Malaysia: Penganalisis

PUTRAJAYA: Pesawat dengan nombor pendaftaran milik syarikat Israel yang melalui ruang udara negara baru-baru ini disahkan mendapat kelulusan penerbangan  Malaysia.

Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan berkata, pesawat awam berkenaan disahkan melalui ruang udara negara mengikut peraturan-peraturan ditetapkan Pertubuhan Penerbangan Awam  Antarabangsa (ICAO), yang mana Malaysia adalah sebahagian daripada negara anggota.

Menurut kenyataan itu, sebagaimana peraturan-peraturan ICAO, Malaysia meluluskan mana-mana penerbangan melalui ruang udara selagi tidak mengancam keselamatan serta kedaulatan negara.

MODEL pesawat pengintip bernombor pendaftaran 4X-AOO dibangunkan Israel Aerospace Industries yang dikatakan terbang di ruang udara Malaysia minggu lalu. – Gambar media sosial

“Kementerian Pengangkutan mengambil maklum berhubung  pesawat dengan nombor pendaftaran milik syarikat Israel yang melalui ruang udara negara berlepas dari Malé, Republik Maldives dan menuju ke Paya Lebar, Singapura pada hari Rabu, 19 Mei lalu pada pukul 2.55 pagi.”

“Ditegaskan bahawa kelulusan penerbangan yang diberikan kepada pesawat Boeing 737-400 milik syarikat Israel Aerospace Industries-Elta (IAI-Elta) ini tidak dibenarkan mendarat atau berlegar-legar di ruang udara Malaysia,” kata kenyataan itu hari ini.

Kementerian Pengangkutan turut memberitahu, tiada corak penerbangan yang tidak normal ketika pesawat tersebut melalui ruang udara Malaysia.

Utusan melaporkan, jelas kenyataan berkenaan  pihak berkuasa penerbangan Malaysia mengesahkan bahawa pesawat tersebut tidak kembali ke ruang udara Malaysia setelah tiba di  destinasinya, Singapura.

Baru-baru ini, kewujudan pesawat prototaip pengintip bernombor pendaftaran 4X-AOO milik Israel ketika dalam penerbangan dari Tel-Aviv ke Singapura memasuki ruang udara negara dan berlegar empat jam sebelum mendarat menimbulkan kegusaran yang banyak diluahkan di media sosial.

Pesawat itu dikesan memasuki ruang udara Malaysia menerusi laman web Flight radar sebelum dilaporkan beberapa agensi berita tempatan.

Insiden itu menimbulkan keresahan selepas Israel sebelum ini melabel Malaysia sebagai negara paling tegar menyokong Palestin selepas krisis kemanusiaan di Gaza tercetus sejak pertengahan Mei.

Sementara itu Pensyarah Kanan Ekonomi Politik Islam, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi,  berpendapat kehadiran pesawat pengintip itu membuktikan Israel mula menyedari kekuatan Malaysia.
Beliau dalam satu hantaran di Facebook menjelaskan walaupun kekuatan Malaysia bukan dari sudut ketenteraan, tetapi diakui dari sudut teknologi siber. Apatah lagi, perang siber yang dilancarkan oleh tentera bawang baru-baru ini telah menggugat ketenteraman Israel.
“Apa yang anda fikirkan dengan pesawat ini? Kenapa perlunya pesawat ini melintasi ruang udara Malaysia dan mengambil beberapa ketika berada di sekitar Putrajaya? Kehadiran pesawat pengintip ini menunjukkan signal Israel terancam dengan Malaysia. Tujuan pesawat pengintip adalah dalam sisi perang. Pesawat pengintip Israel pernah digunakan untuk mengintip senjata yang ingin dibawa masuk ke Palestin.” – Pensyarah Kanan Ekonomi Politik Islam, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi
Apakah yang membuatkan Israel tergugat?
Berdasarkan indeks Global Fire Power tahun 2020, kekuatan ketenteraan Malaysia ialah berada pada kedudukan ke-17 di Asia dan ke-44 di Dunia, berbanding Indonesia tempat ke-9 dan Thailand ke-13 di Asia.
“Malaysia memiliki 410,000 anggota tentera iaitu 1.3 peratus daripada populasi penduduk. Daripada angka tersebut, Malaysia belum mempunyai bilangan anggota tentera yang cukup. Walau bagaimanapun, diakui tentera Malaysia mempunyai strategi perang yang baik. namun masih belum kukuh dari sudut persiapan teknologi ketenteraan,” – Pensyarah Kanan Ekonomi Politik Islam, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi
Beliau dalam masa yang sama turut mengucapkan tahniah kepada tentera siber bawang gabungan Malaysia dan Indonesia kerana berjaya mengancam ruang siber Israel.
Di samping itu, beliau turut mengingatkan bahawa Israel tidak akan berdiam diri dengan situasi yang berlaku hari ini dan tidak menolak kemungkinan akan berlaku ancaman siber terhadap Malaysia sekali lagi.
“Untuk itu, keselamatan negara jangan dibiarkan dibolosi seperti kehadiran mudah pesawat Israel tanpa tujuan tepat dalam ruang udara Malaysia.” – Pensyarah Kanan Ekonomi Politik Islam, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button